Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Program Amal Roti 1Malaysia diperluas ke Sabah

roti 1malaysia

MENGGATAL — Tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilakukan oleh jawatankuasa Program Amal Roti 1Malaysia merupakan langkah terbaik bagi menyalurkan bantuan seperti makanan kepada golongan yang memerlukan.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Jainab Ahmad berkata, melalui program amal itu, ia sedikit sebanyak memberikan kegembiraan dan menzahirkan rasa prihatin kepada kumpulan sasar.

“Kita mengalu-alukan kehadiran syarikat swasta, badan berkanun untuk menyumbang kepada masyarakat. Dalam membangunkan masyarakat, semua pihak harus memainkan peranan dalam membantu kerajaan mendengar denyut nadi rakyat.

“Semua pihak harus membantu kerajaan bukan sahaja membangunkan prasarana tetapi juga membangunkan masyarakat agar ia seiring dan mampu melahirkan modal insan yang bakal menjadi pewaris kepimpinan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyertai lawatan turun padang Program Amal Roti 1Malaysia bersama Pengerusi Program Roti 1Malaysia, Datuk Anne Eu di Kampung Rampayan, dekat sini, semalam.

Jainab berkata, bantuan dan kerjasama yang baik daripada semua pihak adalah diharapkan dan dengannya lebih ramai lagi masyarakat yang memerlukan mendapat bantuan.

“Usaha ini akan dilaksanakan di seluruh negeri Sabah bagi menemui kumpulan sasar dan mengharapkan usaha ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Program Amal Roti 1Malaysia, Datuk Anne Eu menyalurkan RM5,000 kepada seorang penduduk kampung iaitu Sir William Awang Timbang untuk membaik pulih atap rumah dan lantai yang rosak akibat banjir.

Anne berkata Roti 1Malaysia ini telah bermula dari Semenanjung dan di bawa ke negeri Sabah untuk membantu golongan yang memerlukan dan rumah-rumah kebajikan.

“Kami amat berbesar hati untuk membantu masyarakat yang memerlukan, oleh itu kerjasama yang baik antara pihak hotel dan kerajaan negeri memberikan semangat kepada kami untuk terus menyumbang khidmat,” katanya.

Komen


Berita Berkaitan