Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Produk di pasar tani lebih segar dan murah

 BAKAL DINAIKTARAF… Pasar Tani Asia City bakal berubah wajah apabila bakal dinaiktaraf oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan. – foto ALEX MAIRIN / Sayangsabah
BAKAL DINAIKTARAF… Pasar Tani Asia City bakal berubah wajah apabila bakal dinaiktaraf oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan. – foto ALEX MAIRIN / Sayangsabah

KOTA KINABALU – Orang ramai adalah digalakkan mengunjungi pasar tani di kawasan masing-masing untuk membeli barangan keperluan seharian yang segar dan  dijual lebih murah dari pasaran luar.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Yahya Hussin berkata, produk yang ditawarkan di pasar tani juga berkualiti dan pengguna mampu berjimat antara lima hingga 20 peratus berbanding di tempat lain.

“Contohnya, cili merah dijual RM7.00 sekilogram di pasar tani tetapi peniaga lain di pasaran sekitar Kota Kinabalu menjual sehingga RM12.00 dan pengguna mampu berjimat RM5.00,” katanya kepada media semasa melakukan kunjungan ke Pasar Tani Asia City di sini pagi tadi.

Katanya, pengguna boleh mendapatkan sebanyak 73 jenis barangan keperluan di pasar tani termasuk sayuran, buah-buahan, barangan runcit, hasil laut serta bekalan ayam dan daging.

Beliau juga berkata, kementeriannya melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) giat melaksanakan beberapa program antaranya ‘Jimat Belanja Dapur di Pasar Tani’ dan ‘Jualan Turun Harga Pasar Tani’ yang telah bermula 9 Februari lepas di seluruh negeri.

Katanya, program tersebut adalah salah satu usaha kerajaan menangani isu kenaikan harga makanan di pasaran selain membantu meningkatkan pendapatan usahawan tempatan di negeri ini.

“Usahawan tempatan berpeluang menjual terus produk mereka kepada pengguna tanpa menggunakan pihak ketiga,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan pembinaan tapak pasar tani kekal oleh FAMA di Asia City yang dijangka akan dilaksanakan tahun ini dengan kos peruntukan RM2 juta.

“Tapak pasar tani kekal tersebut merupakan yang pertama diwujudkan di negara ini, bakal memberi ruang yang lebih selesa kepada peniaga dan juga pengguna,” katanya lagi.

Sebanyak 39 buah pasar tani dengan 850 orang peniaga telah diwujudkan di seluruh Sabah yang mencatat jumlah jualan RM11 juta setakat Disember 2014.

Kerajaan turut merancang untuk mewujudkan empat lagi kawasan pasar tani di negeri ini pada tahun ini.
– Oleh NUZIR ANDI SAMSIAR / Sayangsabah

Komen


Berita Berkaitan