Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,653

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

PPR Kiansom, Satu-satunya Projek Terbengkalai Disiapkan Segera

9:47pm 27/08/2016 Pak Roshan 1046 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan
PPR Kiansom, Inanam

PPR Kiansom, Inanam

KOTA KINABALU : Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kiansom, Inanam dekat sini, yang merupakan satu-satunya projek PPR terbengkalai, akan disiapkan segera selepas kontraktor baharu dilantik secepat mungkin.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata projek itu yang mempunyai 1,000 unit telah siap kira-kira 96 peratus, namun terbengkalai sejak 2009 akibat sikap tidak bertanggungjawab kontraktor terdahulu.

“Saya dimaklumkan projek ini mula dibina pada 2003. Sekarang 2016, jadi, projek ini tertangguh 13 tahun.

“Kontraktor pertama (asal) telah gulung tikar dan pada 2009, kita lantik kontraktor penyelamat yang juga tak boleh selamatkan projek ini kerana dia pun sudah lari,” katanya kepada pemberita ketika melawat projek tersebut hari ini.

Menyifatkan masalah projek itu sebagai serius, Noh berkata beliau sendiri akan memantau proses pelantikan kontraktor baharu dan berharap projek itu dapat dimulakan segera.

“Saya ingat dalam tempoh hujung tahun ini, masalah ini (pelantikan kontraktor baharu) akan selesai dan mungkin tahun depan kita boleh mula balik projek ini.

“Projek ini akan memberi faedah kepada ramai penduduk di Inanam, khususnya penduduk setinggan di kawasan ini,” katanya sambil menambah permohonan untuk unit rumah PPR di Inanam kini mencecah 7,000.

Bagi mengelak vandalisme dan kecurian seperti cermin tingkap dan wayar elektrik di PPR Kiansom itu, Noh berkata kementerian telah melantik pasukan daripada Jabatan Sukarelawan (Rela) untuk menjaga kawasan projek berkenaan.

Ditanya mengenai kesesakan lalulintas yang dijangka berlaku di kawasan itu setelah PPR berkenaan mula diduduki, beliau berkata pihaknya akan berbincang dengan agensi berkaitan seperti Dewan Bandaraya Kota Kinabalu untuk menangani masalah tersebut.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan