Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

12,501

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

PPM Semporna Tahan Dua Lelaki, Rampas 16 Kayu

6:34pm 28/03/2017 Pak Roshan 439 views Jenayah,Mutakhir

SEMPORNA, 28 Mac : Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna menahan dua lelaki dan merampas 16 kayu jenis selingan batu dan belian bernilai RM1,500 di kawasan Laut Gelam-Gelam dalam satu operasi petang semalam.

Pemangku Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Supt Norzaid Mohammad Said berkata dalam operasi pukul 3 petang itu PPM terserempak sebuah bot dalam keadaan mencurigakan sebelum menahannya untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki yang juga juragan berusia 47 tahun membawa empat kayu selingan batu dan 12 kayu belian tetapi gagal menunjukkan sebarang dokumen sah membawa kayu tersebut.

“Lelaki itu ditahan di bawah Enakmen Perhutanan dan kami turut merampas bot dan satu enjin sangkut serta satu tong berisi minyak dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM27,600,” katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

Norzaid berkata seorang lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina berusia 47 tahun yang juga penumpang bot tersebut turut ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Norzaid berkata anggota PPM menemukan dua paket kecil lut sinar mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dalam dompet berwarna coklat milik suspek.

“Kedua-dua suspek dan barang rampasan dibawa ke Pangkalan PPM sebelum diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.

Beliau berkata PPM akan terus komited menjalankan tugas bagi membanteras sebarang perbuatan jenayah dan yang menyalahi undang-undang khususnya di perairan negara.

“Kerjasama orang awam dan agensi berkaitan menyalurkan maklumat amat dialu-alukan ke arah operasi yang lebih berkesan,” katanya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan