Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

PPM Rampas 3,300 Telur Penyu

SANDAKAN, 9 Ogos – Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 3,300 telur penyu yang cuba diseludup masuk ke daerah ini dekat sini, hari ini.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohd Yazib Abd Aziz berkata anggota PPM yang meronda menggunakan bot ronda di kawasan perairan itu telah mengesan dua bot pam cuba memasuki Sungai Batu Putih.

Katanya ketika menghampirinya, kedua-dua juragan bot pam itu bertindak memecut laju dan enggan berhenti bila diarahkan.

Kedua-dua bot pam tersebut kemudiannya hilang kawalan lalu merempuh hutan bakau dan juragan bertindak terjun sebelum melarikan diri serta tidak dapat dikesan.

Hasil pemeriksaan di dalam ruang kedua-dua bot tersebut menjumpai tujuh karung guni berisi 3,300 telur penyu yang disyaki cuba diseludup masuk ke daerah ini dari Filipina, katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Yazib berkata kesalahan dilakukan mengikut Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 dan nilai rampasan telur penyu itu dianggarkan RM6,600.

Dalam kes berasingan hari ini, beliau berkata sebanyak 200 bungkus tepung gandum yang cuba diseludup keluar ke Filipina dirampas selepas sebuah bot laju ditahan di laut berhampiran Pulau Berhala, pada kira-kira 4 pagi.

Katanya anggota PPM mengesan bot laju itu di kawasan laut Kampung Forest dan apabila dikejar juragan bot laju itu melarikan diri selepas botnya terkandas di kawasan cetek Pulau Berhala.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan