Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Politeknik Sandakan Jadikan Lima Sekolah Dibawah Program Sekolah Angkat

poli sdk

SANDAKAN : Politeknik Sandakan menjadikan lima sekolah menengah di Sandakan dan Beluran sebagai sekolah angkat untuk program pertukaran pengetahuan dan penawaran melanjutkan pelajaran bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Program Sekolah Angkat Politeknik (SAP) itu dilaksanakan menerusi nota kerjasama antara Politeknik Sandakan dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sandakan dan PPD Beluran yang ditandatangani dalam satu majlis di sini, hari ini.

Majlis berkenaan disaksikan oleh Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Zakaria Mohd Edris.

Lima sekolah terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaa (SMK) Pamol, SMK Batu Sapi, SMK Sandakan II, SMK Muhibbah dan SMK Gum-Gum.

Pengarah Politeknik Sandakan Mahmood Mohamad berkata program SAP adalah program yang bertujuan untuk memperkenalkan sistem pendidikan politeknik kepada warga sekolah dan menjadikan sekolah berhampiran sebagai cabang kepada politeknik.

“Program ini berkonsepkan situasi menang-menang dengan bentuk kerjasama yang menguntungkan kedua-dua pihak,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Menurutnya sekolah yang terpilih akan dilibatkan dengan pelbagai program atau aktiviti anjuran Politeknik yang dapat memberi inspirasi dan mewujudkan minat pelajar sekolah agar melihat Politeknik sebagai institusi pilihan pertama untuk melanjutkan pengajian selepas SPM.

Katanya antara peranan politeknik bagi program ini adalah program pemindahan pengetahuan di sekolah melalui politeknik kasih serta membantu pelajar cara memohon di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dengan betul dan berkesan.

Beliau berkata Politeknik juga menawarkan tempat kepada pelajar sekolah angkat politeknik bagi pelajar yang memohon atau yang keciciran tempat di IPT.

Zakaria dalam ucapannya berkata program SAP ini dapat mengelakkan pelajar lepasan SPM daripada keciciran, sedangkan mereka mempunyai kelayakan untuk membina kerjaya dalam sistem pengajian di Politeknik.

Katanya jalinan kerjasama antara Politeknik Sandakan dengan lima sekolah itu dapat membantu melahirkan generasi yang berilmiah.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan