Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,700

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Polis Tumpas ‘Geng Minzhi’, Percaya Selesai Kes Curi Kenderaan, Pecah Rumah

8:38pm 08/09/2016 Pak Roshan 679 views Jenayah,Mutakhir
Foto : BERNAMA

Foto : BERNAMA

KOTA KINABALU : Polis percaya dapat menyelesaikan 12 kes curi kereta dan pecah rumah di sini yang membabitkan kerugian RM500,000 dengan tertangkapnya lapan suspek ‘Geng Minzhi’ baru-baru ini.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata lima lelaki dan tiga wanita berusia antara 18 dan 33 tahun itu ditahan dalam operasi secara berperingkat sejak 28 Ogos hingga 1 Sept lepas di sekitar pusat bandar raya.

Beliau berkata polis turut merampas tiga kenderaan yang mana dua daripadanya memiliki bahagian kereta yang dicuri manakala sebuah lagi kenderaan adalah kereta curi yang dilaporkan hilang sebelum ini.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek berkenaan positif dadah dan kelima-lima suspek lelaki memiliki rekod jenayah lampau antaranya berkaitan dadah dan curi kereta. Salah seorang suspek lelaki itu pula dikehendaki polis berkaitan lima kes curi kereta dan pecah rumah,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Chandra berkata kumpulan terbabit yang aktif melakukan kegiatan itu sejak April lepas menggunakan modus operandi memecah masuk rumah sebelum melarikan barang berharga di rumah tersebut, termasuk kereta yang diparkir di rumah terbabit.

“Selain itu, suspek juga menggunakan modus operandi dengan mengenal pasti kenderaan yang selalu diparkir di tempat yang terpencil, sebelum melakukan kegiatan curi berkenaan,” katanya.

Berikutan tangkapan itu, Chandra berkata pihaknya kini sedang mencari dua lelaki yang dipercayai menjadi orang tengah untuk menjual kenderaan curi berkenaan kepada pembeli.

“Suspek itu dikenali Low Hui Chuong, 56, beralamat terakhir di Sibu, Sarawak dan Wong King Tung, 39, beralamat terakhir di Jalan Tuaran, Kota Kinabalu,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata sebanyak 55 kes curi kenderaan dilaporkan di Sabah sejak Januari hingga Ogos tahun ini.

Sementara itu, polis Kota Kinabalu berjaya menahan enam lelaki berikutan laporan satu kes pecah rumah di Telipok, dekat sini 17 Ogos lepas.

Kesemua suspek berusia 30 hingga 35 tahun itu ditahan dalam operasi secara beperingkat pada 18 hingga 24 Ogos lepas dan turut dirampas kamera digital yang dicuri dalam kejadian pecah rumah.

Chandra berkata empat lelaki berkenaan adalah suspek utama dalam kejadian pecah rumah, manakala dua individu lagi merupakan pembeli barangan yang dicuri.

— BERNAMA

FOTO : BERNAMA

FOTO : BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan