Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,643

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Polis Tumpas Geng Aton, Rampas Barangan Bernilai RM200,000

3:18pm 10/06/2016 Pak Roshan 122 views Jenayah,Mutakhir
gambar hiasan

gambar hiasan

KOTA KINABALU : Polis menumpaskan Geng Aton apabila empat anggotanya ditahan dan merampas pelbagai barangan bernilai RM200,000 yang cuba dilarikan dari sebuah rumah di Taman Setia Likas pada Isnin lepas.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata suspek berusia antara 25 hingga 39 tahun itu diberkas kira-kira jam 9.30 malam sejurus selepas tiga daripada empat suspek berkenaan memecah masuk rumah terbabit.

Katanya anggota polis yang sedang meronda kawasan itu ternampak sebuah kereta di dalamnya ada seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan dan hasil siasatan terhadap lelaki itu mendapati tiga rakannya yang lain sedang melakukan jenayah pecah rumah.

“Polis kemudiannya berjaya menangkap suspek terbabit yang baharu sahaja keluar dari rumah itu bersama barang-barang yang dicuri iaitu 10 utas jam tangan berjenama, tiga dompet dan sebuah alat permainan video yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM200,000,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua mereka ditahan reman selama lima hari hingga esok.

Chandra berkata ketua kumpulan Geng Aton, yang merupakan warga tempatan berusia 39 tahun, baharu keluar dari penjara pada 27 April lalu selepas menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan cubaan pecah rumah.

“Namun, selepas keluar dari penjara pada penghujung April itu, dia telah melakukan empat kes pecah masuk rumah termasuk kes ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Chandra berkata polis menyita empat van persendirian kerana digunakan sebagai kenderaan perkhidmatan awam untuk membawa pelancong tanpa permit daripada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

Beliau berkata empat van terbabit adalah sebahagian daripada 40 kenderaan yang diperiksa dalam satu operasi selama dua hari di sekitar bandar raya ini.

Katanya semua pemandu van berumur 24 hingga 45 tahun yang ditahan telah dibebaskan dengan jaminan polis, namun didakwa di bawah Seksyen 33 Akta LPKP kerana menggunakan kenderaan persendirian sebagai kenderaan perkhidmatan awam.

Selain itu, Chandra berkata polis juga telah menahan seorang lelaki berusia 28 tahun dan menyita kereta miliknya kerana nombor pendaftaran yang digunakan tidak wujud dalam sistem.

Lelaki itu menggunakan nombor pendaftaran D3V1L dan telah dibebaskan atas jaminan polis namun didakwa di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan atas kesalahan itu.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan