Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Polis tidak mahu tersepit, keputusan mahkamah muktamad

jagaanak

KOTA KINABALU: Polis tidak akan memihak kepada mana-mana perintah mahkamah berhubung hak penjagaan anak membabitkan dua kes berlainan agama yang dilaporkan di Negeri Sembilan dan Perak baru-baru ini, sehingga menimbulkan kontroversi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, keputusan itu dibuat selepas Mahkamah Sivil memutuskan hak penjagaan anak mengikut undang-undang yang sah.

“Polis tidak akan menyebelahi mana-mana pihak dan akan bertindak adil dalam kedua-dua kes ini termasuk mengadakan rundingan untuk menempatkan kanak-kanak itu di pusat penjagaan kanak-kanak.

“Kami tidak mahu tersepit antara dua perintah mahkamah kerana kedua-dua mahkamah sudah mengeluarkan perintah penjagaan anak,” katanya.

Khalid berkata, beliau sudah mengarahkan ketua polis di kedua-dua negeri ini untuk berunding dengan mana-mana pihak supaya kanak-kanak ini dibenarkan untuk ditempatkan di pusat penjagaan.

“Apabila anak mereka diletakkan di bawah rumah kebajikan, ibu bapa boleh melawat pada bila-bila masa.

“Kami mahu berlaku adil dan tidak akan memihak kepada mana-mana pihak,” katanya.

Terdahulu, dalam kejadian di Ipoh, Perak, seorang guru tadika, M Indira Ghandhi mendapat perintah mahkamah untuk mendakwa bekas suaminya, Muhammad Ridzuan Abdullah atau nama asalnya, K Patmanathan kerana menghina mahkamah selepas gagal menyerahkan anak bongsu mereka, Prasana Diksa (Ummu Habibah), 6, kepada plaintif selepas memenangi hak penjagaan anak, selaras dengan perintah Mahkamah Tinggi pada 11 Mac 2010.

Manakala, di Seremban, Negeri Sembilan pula, Mahkamah Rayuan menolak permohonan N Viran atau nama Islamnya, Izwan Abdullah, bagi menangguhkan keputusan pemberian hak penjagaan dua anaknya kepada ibu mereka, S Deepa yang beragama Hindu.

Komen


Berita Berkaitan