Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,649

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Polis Tidak Dapat Pastikan Barang Kes Pencerobohan Lahad Datu Selepas Analisis Forensik

8:08pm 09/12/2015 Pak Roshan 234 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

tanduo3

KOTA KINABALU : Seorang pegawai polis tidak dapat memastikan sama ada barang kes digital pencerobohan Lahad Datu yang diperoleh dari CyberSecurity Malaysia sama dengan yang dihantar untuk analisis forensik, Mahkamah Tinggi diberitahu di sini hari ini.

Bekas pegawai penyiasat Semporna Insp. Mohamad Ali Yusran Osman berkata, ini disebabkan barang kes yang diperoleh telah dibungkus semula selepas ia dianalisis.

“Bungkusan barang kes yang saya terima dimeterai oleh pihak CyberSecurity Malaysia dan bungkusan plastik itu semua berwarna gelap,” katanya pada perbicaraan 30 individu yang dikaitkan dengan pencerobohan kumpulan bersenjata Sulu di Kampung Tanduo, Lahad datu pada Februari 2013.

Mohamad Ali Yusran yang kini bertugas di ibu pejabat polis Daerah Klang Utara berkata, beliau telah diarahkan Ketua Siasatan Jenayah Semporna, DSP Zairolnizal Ishak untuk mengumpul barang kes digital dari CyberSecurity Malaysia sebanyak tiga kali pada 2013 iaitu 24 April, 17 Julai dan 10 Sept.

Menjawab soalan timbalan pendakwa raya Datuk Abdul Wahab Mohamed katanya, beliau tidak mengambil kesempatan untuk melihat barang kes dalam bungkusan yang diterima dari CyberSecurity Malaysia sebab ia telah dianalisis dan dibungkus oleh agensi digital itu.

Sebaliknya beliau telah menyerahkan semua barang kes kepada Zairolnizal selepas kembali ke Semporna.

Mohamad Ali Yusran berkata beliau turut berlibat dengan siasatan ke atas seorang tertuduh, Norhaida Ibnahi yang ditangkap dalam serang hendap di Kampung Sri Melor di Semporna pada 22 Mac 2013 atas kesalahan imigresen.

“Norhaida dibebaskan daripada siasatan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen selepas polis mendapat pengesahan daripada Jabatan Pendaftaran Negara bahawa kad MyPR miliknya adalah sah,” katanya.

Bagaimanapun selepas dibebaskan beliau memberitahu mahkamah wanita itu telah ditahan semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Sementara itu, Penolong Ketua Pengarah D13 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (Maklmal Forensik Polis Diraja Malaysia) ACP Hussein Omar Khan berkata beliau terlepas pandang satu kad memori semasa memerika barang kes digital sebelum menyerahkannya kepada CyberSecurity Malaysia untuk analisis.

Beliau berkata sebenarnya terdapat enam kad memori di sebalik lima yang diterima dari Inspektor Mohd Faiz Che Mamat pada 4 April 2013 bersama-sama dengan sembilan telefon bimbit, tujuh bateri telefon bimbit dan enam kad SIM berhubung laporan polis yang dibuat di Kunak.

Ketika menjawab soalan timbalan pendakwa raya Datuk Jamil Aripin pegawai kanan polis itu berkata, beliau tidak tahu bagaimana enam kad memori terbabit ditemui semasa kakitangan CyberSecurity Malaysia, Fauzi Mohd Darus memeriksa barang kes itu.

Di kandang tertuduh 27 rakyat Filipina dan tiga lelaki tempatan yang berdepan satu hingga pelbagai pertuduhan menganggotai kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mereka juga didakwa merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 12 Feb dan 10 April 2013.

Pendengaran di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung esok.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan