Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Polis Tempatkan Unit K9 Di Lapangan Terbang Miri

polis

MIRI – Polis akan meningkatkan langkah keselamatan di Lapangan Terbang Miri, lapangan terbang kelima paling sibuk di negara ini, bagi mengelakkan Sarawak menjadi lokasi transit untuk penyeludupan dadah.

Ketua Polis Miri ACP Gan Tian Kee berkata satu daripada langkah itu ialah menempatkan unit K9 iaitu anjing yang dilatih khas bagi membantu polis dalam aktiviti penguatkuasaan, di lapangan terbang itu.

“Kami akan bekerja dengan penuh berhati-hati dan tidak semua bagasi akan diperiksa kerana kami memahami sensitiviti agama,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan polis Miri di sini hari ini.

Gan berkata hanya bagasi yang disyaki mengandungi dadah setelah diimbas di pintu masuk dan keluar lapangan terbang akan dihidu unit anjing pengesan itu.

Beliau berkata langkah keselamatan tambahan itu ditempatkan di Lapangan Terbang Miri berikutan penangkapan seorang pekerja pelantar minyak berusia 21 tahun yang disyaki terlibat dalam penyeludupan 115.5kg syabu bernilai RM21 juta, rampasan dadah terbesar negeri ini, di lapangan terbang itu pada 4 Dis tahun lepas.

Gan berkata memandangkan keselamatan di lapangan terbang berada di bawah bidang kuasa Malaysia Airports Berhad (MAB), polis telah berbincang dengan MAB untuk mengetatkan aspek keselamatan, selepas penahanan suspek itu, disebabkan kes penyeludupan dadah kini menjadi semakin rumit.

“Kami mempunyai seekor anjing terlatih untuk menghidu dadah tidak kira sama ada ia disembunyikan di dalam beg atau kotak, anjing itu mampu mengesan serta-merta sama ada bungkusan disyaki itu mengandungi dadah atau tidak,” katanya.

Pada masa ini, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur merupakan lapangan terbang paling sibuk di negara ini, diikuti Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Terdahulu, Gan menyampaikan sijil penghargaan kepada media yang berpangkalan di Miri termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia atas kerjasama mereka dengan polis dalam mengurangkan indeks jenayah di bandar ini.

Beliau berharap kerjasama erat antara polis dan media di sini berterusan bagi membolehkan polis terus mengurangkan indeks jenayah tahun ini. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan