Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Polis Tawau Tahan 6 Suspek Sindiket Kad Pengenalan Merah

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus

TAWAU – Polis menahan enam suspek termasuk seorang remaja perempuan disyaki terlibat dalam sindiket penipuan urusan pembuatan kad pengenalan merah di daerah ini yang dikesan beroperasi sejak 15 April tahun ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus berkata lima lelaki tempatan berumur antara 49 hingga 58 tahun itu serta remaja perempuan berusia 15 tahun ditahan pada 24 dan 26 Julai lepas.

“Modus operandi sindiket ini adalah memperdayakan mangsa dengan menyatakan boleh membantu mangsa menguruskan kad pengenalan merah walaupun dokumen sokongan tidak lengkap.

“Akibat itu, mangsa yang percaya menyerahkan wang tunai RM150 untuk urusan kad pengenalan itu tetapi merasa tertipu apabila masih belum menerima kad pengenalan itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Fadil, dalam dua siri tangkapan itu, pihaknya turut merampas 14 fail yang mengandungi salinan pasport pemohon, salinan sijil lahir pemohon, borang permohonan bagi mendapatkan kad pengenalan merah dan dokumen kelulusan khas pendaftaran maklumat penduduk di Sabah.

Beliau berkata turut dirampas dua buku rekod pendaftaran bayaran, 12 helai resit pembayaran, dompet mengandungi wang tunai RM4,907, serta kereta jenis Isuzu DMax.

Sehubungan itu, Fadil menasihatkan orang ramai berhati-hati dan tidak mudah tertipu dengan tindakan individu bukan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tetapi menawarkan khidmat membuat permohonan kad pengenalan merah dengan bayaran tertentu.

“Orang awam yang mempunyai maklumat tertentu juga boleh membantu polis dengan melaporkan kepada petugas di balai berdekatan,” katanya. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan