SEMPORNA : Seorang suspek kes samun yang juga mencederakan mangsa seorang lelaki tempatan di Taman Miramas, Semporna awal pagi semalam berjaya di tangkap polis pada petang hari yang sama.
Ketua Polis Daerah Semporna Supt Peter Umbuas berkata dalam kejadian kira-kira pukul 2.05 pagi itu mangsa berusia 27 tahun ditoreh di bahagian perut sewaktu bergelut dengan suspek lelaki, 32, yang cuba memecah masuk bilik mangsa.
“Suspek juga sempat menolak mangsa sehingga jatuh dari tangga tingkat atas sehingga ke bawah sebelum melarikan diri…mangsa juga merasakan sempat menikam suspek tetapi tidak pasti di bahagian mana,” katanya.
Peter berkata mangsa yang cedera kini berada dalam keadaan stabil dan hasil siasatan di lokasi kejadian tidak menemukan kesan pecah rumah atau barang yang hilang.
Bagaimana pun, susulan siasatan ke atas seorang saksi yang ternampak kelibar suspek melarikan diri menggunakan sebuah kereta Perodua Kancil, membawa kepada penahanan suspek kira-kira pukul 1.20 tengah hari di pekan Semporna.
Peter berkata kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
–BERNAMA