Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,751

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Polis tahan lapan lelaki, rampas 303 gram syabu

1:43pm 16/11/2016 Pak Roshan 488 views Jenayah,Mutakhir
BARANGAN ... Antara barangan rampasan dadah syabu, telefon bimbit, wang kertas dan beg sandang.

BARANGAN … Antara barangan rampasan dadah syabu, telefon bimbit, wang kertas dan beg sandang.

LAHAD DATU: Polis menahan lapan lelaki termasuk seorang warga tempatan dan merampas sebanyak 303 gram dadah disyaki jenis syabu dianggarkan bernilai RM30, 000, dalam dua serbuan berasingan sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah ini, ACP Hamzah Ahmad, berkata bertindak hasil maklumat pengedaran dadah, sepasukan anggota polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Cenderawasih telah membuat serbuan dan tangkapan di Kawasan Jalan utama Ladang sawit Kampung Tandu bersempadan Ladang sawit Sahabat 16, Lahad Datu, pada Sabtu lalu.

Dalam serbuan kira-kira jam 5.45 petang itu katanya, pasukan terbabit telah menahan sebuah kenderaan jenis Produa Kancil yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun bersama tiga lelaki warga asing berumur antara 15 hingga 25 tahun.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut, pasukan serbuan pada mulanya telah menjumpai sebanyak 66 paket minyak masak disyaki cuba diseludup keluar ke Negara jiran.

“Bagaimanapun setelah pemeriksaan lanjut dilakukan pada beg silang yang dipakai oleh salah seorang suspek, polis telah menjumpai lima paket besar plastik berwarna putih berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 251.76 gram bernilai RM25,000.

“Turut dirampas 24 keping wang kertas 1000 piso dan dua keping wang kertas 500 piso serta tiga unit telefon bimbit pelbagai jenama,” katanya dalam sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah, di sini, semalam yang turut dihadiri ASP Mohd Asri Angkong, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah.

Kata Hamzah, hasil soal siasat yang dilakukan, pihaknya turut mendapati tiga suspek warga asing itu adalah merupakan adik-beradik dan kini ditahan reman selama 7 hari bersama pemandu Kancil terbabit untuk siasatan dan tindakan lanjut dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kes dikendalikan oleh Pegawai Penyiasat Narkotik IPD LDU, Insp. Wahid Sujani.

Sementara itu, katanya, dalam satu lagi serbuan berasingan yang dilakukan pada pagi Ahad lalu, polis turut menahan empat lelaki warga asing menerusi serbuan yang dilakukan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Lahad Datu.

Jelas Hamzah, bertindak di atas maklumat pengedaran dadah, empat suspek yang berusia antara 35 hingga 60 tahun itu telah ditahan di Pot Kawasan Ladang Rimmer, Jalan Lahad Datu-Tungku, pada jam lebih kurang 8 pagi.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas suspek pertama, polis telah menjumpai lima paket plastik lutsinar dan 68 tiub straw berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat sebanyak 51.20 gram.

“Manakala hasil pemeriksaan badan ke atas tiga suspek yang lain, masing-masing telah dijumpai satu paket syabu dengan anggaran berat 0.04 gram, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan adalah seberat 51.24 gram bernilai RM 5,000,” katanya sambil menambah kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan tiga kes disiasat dibawah Seksyen 12 (2) Akta yang sama.

Sehubungan itu kata Hamzah lagi, kesemua suspek kini ditahan reman selama 7 hari untuk siasatan lanjut dan kes dikendalikan oleh Pegawai Penyiasat Narkotik IPD LDU, Insp. Rafidah Zulkifli. – NewSabahTimes

RAMPAS ... Hamzah (dua kanan) bersama Asri (dua kiri), Wahid (kiri) dan Rafidah (kanan) menunjukkan rampasan dadah jenis syabu pada sidang media di IPD Lahad Datu, kelmarin.

RAMPAS … Hamzah (dua kanan) bersama Asri (dua kiri), Wahid (kiri) dan Rafidah (kanan) menunjukkan rampasan dadah jenis syabu pada sidang media di IPD Lahad Datu, kelmarin.

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan