Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,654

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Polis Sabah Terima 34 Unit Motosikal, Mantapkan Tugas URB

3:36pm 04/04/2016 Pak Roshan 74 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

image

KOTA KINABALU : Polis Kontinjen Sabah hari ini menerima 34 motosikal Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dalam usaha memantapkan lagi usaha pencegahan jenayah bagi mengurangkan kadar jenayah di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun berkata motosikal URB berkenaan akan ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Tuaran, Sipitang, Kota Merudu, Beaufort dan Unit Pelancong Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

“URB banyak membantu dalam usaha pencegahan jenayah dan ia sudah tentu akan membantu kita meningkatkan (kecekapan) ‘masa tindak balas’ kehadiran anggota polis dilokasi tertentu.

Dulu rondaan dibuat dengan berjalan kaki dan dengan adanya URB kita boleh memperluaskan lagi rondaan. Tumpuan rondaan ialah di kawasan-kawasan bandar, perumahan serta tumpuan awam,” katanya pada majlis penyerahan motosikal URB berkenaan di sini, Isnin.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan kes penculikan empat rakyat Malaysia di kawasan perairan Pulau Ligitan Jumaat lepas, Abdul Rashid berkata setakat ini pihaknya belum menerima maklumat mengenai keadaan mangsa dan siasatan sedang dijalankan.

“Kita belum menerima apa-apa perkembangan positif mengenai kes berkenaan. Polis Sabah juga belum menerima panggilan daripada kumpulan yang bertanggungjawab menculik empat rakyat Malaysia itu, namun kita berharap kesemua mangsa masih selamat.

“Kita belum dapat maklumat yang sahih, dan sekiranya ada maklumat daripada pihak lain tentang kes itu, kita perlu pastikan sama ada maklumat itu tepat, sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan,” katanya.

Dalam kejadian 6.15 petang itu, empat rakyat Malaysia yang berasal dari Sarawak diculik sekumpulan lapan lelaki bersenjata ketika dalam pelayaran menggunakan kapal tunda dari Manila, Filipina ke Malaysia.

Empat rakyat Malaysia berkenaan ialah Wong Teck Kang, 31, Wong Hung Sing, 34, Wong Teck Chii, 29, dan Johnny Lau Jung Hien, 21.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan