Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Polis Sabah minta bantuan Polri kesan kenderaan curi diseludup ke Kalimantan

KOTA KINABALU – Ibupejabat Polis Kontinjen Sabah akan mendapatkan bantuan daripada pasukan Polis Indonesia (Polri) bagi mengesan kenderaan yang dipercayai dicuri dari negeri ini sebelum diseludup masuk ke Long Bawan, Kalimantan Indonesia.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, bantuan berkenaan akan meliputi semua aspek termasuk dari sudut teknikal.

“Polis Sabah akan menghubungi Konsul Jeneral Indonesia di Kota Kinabalu bagi tujuan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar tempatan berkaitan kenderaan curi yang diseludupkan ke Long Bawan di utara Kalimantan.

Akhbar The Borneo Post turut memaparkan kisah seorang mangsa kecurian bernama Benny Liew yang mendakwa menemui semula kenderaan pacuan roda miliknya di daerah negara jiran itu.

Benny Liew mendakwa, kenderaannya hilang di rumahnya di Penampang pada 25 Januari lepas dan satu laporan polis telah dibuat.

“Mangsa kemudian dimaklumkan oleh seorang rakannya di Lawas yang pernah ternampak kenderaannya di sekitar Bakelalan dipandu menuju ke sempadan Indonesia,” lapor akhbar berkenaan.

Bertindak atas maklumat tersebut, Benny kemudian pergi ke Bakelalan dan Long Bawan untuk menjejaki kenderaannya.

Benny dengan bantuan Polri kemudian berjaya menemui semula kenderaannya namun pemilik baru meminta mangsa membayar RM35,000 sebagai ganti rugi.

Mangsa turut mendakwa melihat banyak kenderaan pacuan empat roda yang menggunakan nombor pendaftaran Sabah terdapat di daerah terpencil tersebut.

Sementara itu, Jalaluddin berkata, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Salehuddin Abd Rahman telah menghubungi pengarah siasatan jenayah Polri Kalimantan Timur untuk membantu mengambil semula kenderaan milik Benny di Long Bawan.

“Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan terperinci mengenai modus operandi termasuk kemungkinan penglibatan suspek Peterus Kipar dalam sindiket membawa kereta curi masuk ke Indonesia khususnya Long Bawan,” katanya lagi.

Jalaluddin berkata, sebanyak 556 buah kenderaan pacuan empat roda telah dilaporkan hilang atau dicuri di negeri ini sepanjang tahun lepas.

“Daripada jumlah kes yang dilaporkan sebanyak sembilan buah kenderaan tersebut berjaya ditemui semula,” katanya lagi.

Menurut beliau, satu pasukan khas yang dianggotai oleh polis Sabah dan Sarawak telah diwujudkan untuk menangani kes curi kenderaan. – oleh NUZIR ANDI SAMSIAR / Sayangsabah

 IMBAS KEMBALI... Laporan akhbar berkaitan kenderaan curi diseludup ke Kalimantan.

IMBAS KEMBALI… Laporan akhbar berkaitan kenderaan curi diseludup ke Kalimantan.

Komen


Berita Berkaitan