Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,654

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Polis Sabah Beri Tumpuan 30 Kawasan Panas Dalam Op Selamat Aidilfitri

7:21pm 29/06/2016 Pak Roshan 1834 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

opstrafik

PUTATAN : Polis Sabah mengenal pasti 30 kawasan panas yang sering berlaku kemalangan jalan raya di negeri ini dan akan diberi tumpuan dalam Op Selamat 9/2016 sempena Aidilfitri yang bermula hari ini hingga 13 Julai depan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun berkata langkah itu adalah sebagai usaha mengurangkan jumlah kemalangan dan mangsa maut nahas jalan raya.

“Op Selamat ini bertujuan memastikan semua pengguna jalan raya sampai ke destinasi dengan selamat. Selain itu, kami juga mahu memastikan kemalangan maut dikurangkan sekali gus mengurangkan kesedihan disebabkan kehilangan orang tersayang akibat kemalangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat bertemakan ‘Rumah Selamat dan Selamat Sampai ke Destinasi’ peringkat Polis Kontinjen Sabah di Tanjung Dumpil, di sini.

Abdul Rashid berkata 764 kes kemalangan jalan raya dilaporkan berlaku pada Op Selamat tahun lepas berbanding 733 kes direkodkan pada Op Selamat 2014.

Bagaimanapun, katanya, kes kemalangan maut di Sabah mencatatkan penurunan pada Op Selamat tahun lepas iaitu sembilan kes melibatkan 12 nyawa terkorban berbanding 19 kes dengan 24 orang terkorban pada Op Selamat 2014.

“Ini adalah hasil kerjasama dan juga kesedaran keselamatan jalan raya semua pengguna,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rashid turut mengingatkan semua pengguna jalan raya agar memastikan kereta berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan, tidak memandu melebihi had laju, tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan berhenti seketika untuk tidur dan merehatkan diri jika merasa mengantuk.

Langkah itu bertujuan memastikan kemalangan dapat dielakkan, katanya.

Abdul Rashid juga meminta kerjasama daripada masyarakat setempat untuk melaporkan ke balai polis berhampiran jika meninggalkan rumah untuk pulang ke kampung agar rondaan lebih kerap dijalankan di kawasan perumahan terbabit.

“Saya juga meminta orang ramai membuat laporan polis jika mengenal pasti ada pergerakan mencurigakan di kawasan perumahan mereka agar kami dapat bertindak segera,” katanya.

Beliau berkata anggota polis yang bertugas pada musim perayaan ini adalah mencukupi memandangkan hanya 10 peratus yang dibenarkan bercuti.
— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan