Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

12,499

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Polis Pernah Terima Laporan Palsu Kelibat Kumpulan Bersenjata Di Lahad Datu

10:01pm 17/05/2017 Pak Roshan 1198 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

KOTA KINABALU, 17 Mei – Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata pihaknya pernah menerima laporan mengenai terdapat kumpulan bersenjata di Lahad Datu sebelum ini, namun laporan berkenaan kemudiannya didapati palsu.

Menurutnya, beliau sendiri telah menerima satu panggilan telefon mengatakan terdapat kumpulan bersenjata di Lahad Datu lebih dua bulan lepas.

“Sejurus mendapat laporan itu, saya telah meminta Ketua Polis Daerah Lahad Datu untuk mengatur pegawai ke tempat berkenaan.

“Namun apabila sampai di kawasan berkenaan kita mendapati pengadu berkenaan dalam keadaan mabuk,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan seorang pekerja ladang yang terserempak dengan lima lelaki bersenjata di ladang sawit Blok 8, Felda Sahabat 2, Cenderawasih dekat Lahad Datu Isnin lepas.

Mengulas lanjut, Ramli berkata walau bagaimanapun pihaknya tidak mengambil mudah mengenai laporan itu dan telah menjalankan siasatan dan risikan.

“Saya tidak mengatakan bahawa laporan yang kita terima Isnin lepas sama seperti yang kita terima lebih dua bulan lepas.

“Kita telah menggerakkan semua elemen polis termasuk Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) untuk membuat risikan dan memeriksa kawasan berkenaan. Namun setakat ini kita masih belum menemui sebarang bukti berhubung dakwaan berkenaan,” katanya.

Pada masa sama, Ramli meminta agar orang ramai segera melaporkan kepada pihak polis mengenai sebarang pergerakan kumpulan yang mencurigakan di kawasan masing-masing.

“Jika benar, terus laporkan kepada polis. Namun jangan sesekali membuat laporan palsu kerana ia merupakan satu kesalahan dan boleh dituduh di mahkamah,” tegasnya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan