Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,658

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Polis Perlu Moral, Disiplin Tinggi – Pesuruhjaya Polis Sabah

10:42pm 30/08/2016 Pak Roshan 348 views Berita Pilihan,Mutakhir,Tempatan,WP. Labuan
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abd. Rashid Harun

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abd. Rashid Harun

LABUAN : Pegawai kanan polis harus menerapkan nilai disiplin dan moral yang tinggi agar menjadi contoh kepada anggota polis yang lain, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun.

Katanya sikap mendahului pegawai atasan harus dielakkan, sebaliknya perlu sentiasa menunjukkan semangat kesetiaan dan patuh kepada arahan.

“Disiplin seorang pegawai polis perlu disemat dan ditingkatkan agar tidak melawan arus. Setiap arahan perlu dipatuhi dan arahan yang betul harus dilaksanakan.

“Pada masa sama, anggota polis juga harus sedia bekerjasama antara satu sama lain khususnya dalam penyelesaian kes tertentu bagi menaikkan imej kepolisan.

“Semangat berpasukan perlu ada pada setiap anggota,” katanya ketika menyampaikan amanat sempena lawatan kerja seharinya di Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan.

Abdul Rashid turut mengingatkan pegawai dan anggotanya supaya tidak melakukan perkara yang dilarang sama sekali seperti menggayakan fesyen rambut ‘mohawk’ bagi lelaki dan mewarnakan rambut untuk wanita.

“Adalah menjadi harapan pengurusan tertinggi polis melihat setiap pegawai kanan memiliki keperibadian yang terpuji. Bercakap mengikut fakta dan pengetahuan,” katanya.

Abdul Rashid juga berkata semua anggota polis pelbagai pangkat harus tahu secara mendalam bidang tugas masing-masing dan sentiasa menimba ilmu pengetahuan bagi menyelesaikan kes-kes tertentu.

Sementara itu, Abdul Rashid turut bangga dengan pencapaian polis Labuan dalam memastikan kes jenayah terkawal.

Labuan sehingga kini masih merekodkan indeks jenayah terendah seluruh negara.

Ketua Polis Daerah Labuan Penguasa Adzhar Othman berkata faktor indeks jenayah yang terkawal adalah berikutan dedikasi dan disiplin dalam kalangan anggota selain pelbagai program kemasyarakatan yang dilaksanakan.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan