Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,650

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Polis Marin Rampas Pistol, Peluru Di Pulau Bangkuruan Beluran

12:11pm 10/08/2016 Pak Roshan 1134 views Jenayah,Mutakhir
Sumber Foto : Polis Diraja Malaysia

Sumber Foto : Polis Diraja Malaysia

SANDAKAN – Polis Marin merampas sepucuk pistol berserta dua kelopak peluru dan tujuh butir peluru hidup selepas menahan empat lelaki dan seorang perempuan di Pulau Bangkuruan di Beluran, semalam.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Madun berkata pada 11.45 pagi sepasukan anggota polis menggunakan bot ronda telah mendarat dan membuat pemeriksaan ke sebuah pondok di pulau itu.

Katanya hasil pemeriksaan menahan empat lelaki dan seorang perempuan bangsa Bajau Palauh berusia antara 14 dan 60 tahun.

Menurutnya pemeriksaan lanjut menemukan lapan botol berisi dipercayai baja ammonia untuk aktiviti mengebom ikan yang disorok di dalam semak sekitar pondok.

Pemeriksaan juga turut membawa penemuan sepucuk pistol jenis Colt.45 yang disimpan di dalam kasut getah berwarna hitam yang ditimbus dengan pasir, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad berkata turut ditemukan bersama-sama pistol ialah dua kelopak peluru dan tujuh butir peluru hidup serta wang tunai RM4,492.

Katanya kesemua individu dan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata adalah menjadi kesalahan menyimpan dan memiliki senjata api yang boleh didakwa di bawah Akta Senjata Api penalti lebih berat 1971 yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun atau sebatan.

Menurutnya PPM juga memandang serius terhadap aktiviti pengeboman ikan dan tidak akan bertolak ansur ke atas mana-mana individu yang menjalankan aktiviti tersebut. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan