Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

POLIS LABUAN SELESAI KES KECURIAN KABEL DAN PECAH RUMAH

kabel

LABUAN, 10 Mac : Polis Labuan percaya telah menyelesaikan kes  kecurian dan pecah rumah dengan tertangkapnya empat suspek di dua lokasi berasingan awal bulan ini.

Kes kecurian tersebut melibatkan dua warga tempatan berusia 26 dan 46 tahun, yang dipercayai aktif mencuri kabel dan komponen alat ganti kenderaan terutamanya di kawasan perindustrian.

Ketua Polis Labuan Supt Adzhar Othman berkata kedua-dua suspek terbabit ditahan pada 5 Mac lepas di Kampung Saguking kira-kira 9.30 malam, berikutan laporan mengenai tindakan mereka mencuri kabel tembaga bernilai RM154,000 serta bateri trak bernilai RM1,000.

“Kedua-dua suspek terbabit telah ditahan reman sejak dari itu dan akan dilanjutkan bagi melengkapkan siasatan kami,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Berdasarkan siasatan awal, kedua-dua suspek itu mencuri kabel dan bateri kenderaan tersebut di tiga lokasi berasingan pada 5 Mac lepas kira-kira 8.45 malam iaitu di Serba Denamik Sdn Bhd, Jalan Rancha-Rancha; Gudang Eastwind di Jalan Tun Mustapha, Batu Arang dan di tapak Pengangkutan Jin Huat, Jalan Rancha-Rancha.

Mereka akan didakwa di bawah Seksyen 379A dan 379 Kanun Keseksaan. Mengenai kes pecah rumah, Adzhar berkata dua suspek ditahan pada 6 Mac lepas di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Lubok Temiang dan Taman Mutiara, Sungai Bedaun kira-kira 10.15 malam.

Suspek berusia 22 dan 39 tahun itu ditahan berkaitan dengan beberapa kes kecurian membabitkan peralatan elektrik bernilai RM9,310.

Mereka melakukan kesalahan itu bersama-sama dua rakan sejenayah lain berusia 20-an, yang mana polis percaya telah melarikan diri ke tanah besar Sabah.

Adzhar berkata mereka disyaki melakukan kesalahan tersebut pada 28 Feb lepas kira-kira 2.45 petang di tempat penyimpanan peralatan elektrik di Taman Wong Wo Lo.

“Salah seorang suspek adalah pekerja syarikat elektrik yang merupakan dalang kes kecurian itu. Kami sedang mengesan dua lagi rakan sejenayah mereka,” katanya. — BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan