Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,695

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Polis Kunak rampas rokok, tembakau RM900,000

4:00pm 08/11/2016 Pak Roshan 156 views Berita Pilihan,Jenayah,Mutakhir
Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Mohd Nasaruddin M Nasir menunjukkan sebahagian rokok yang dirampas pada sidang media di IPD Kunak. - Foto Abdul Rahemang Taiming.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Mohd Nasaruddin M Nasir menunjukkan sebahagian rokok yang dirampas pada sidang media di IPD Kunak. – Foto Abdul Rahemang Taiming.

KUNAK: Polis merampas 168,550 bungkus rokok serta 8,700 bungkus tembakau salak dianggar bernilai RM900,000 yang dipercayai dibawa masuk secara haram ke negeri ini.

Kejayaan itu susulan penahanan tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia oleh sepasukan 16 anggota Special Task Force, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak menerusi satu sekatan jalan raya di persimpangan Ladang Giram, Sime Darby Kunak, di sini, jam 5 pagi semalam.

Dalam sekatan jalan raya itu, polis menahan sebuah pacuan empat roda dipandu lelaki tempatan berusia 26 tahun dan sebuah lori dipandu lelaki tempatan berumur 35 tahun bersama pembantu warga Indonesia tanpa dokumen sah, selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata kedua-dua suspek dipercayai dalam perjalanan dari arah Tawau menghala ke Lahad Datu.

“Pemeriksaan lanjut pada lori berkenaan menemui 168,550 bungkus rokok serta 8,700 bungkus tembakau salak yang dipercayai mengelak cukai kastam dengan nilai rampasan dianggarkan RM900,000 tidak termasuk cukai.

“Berdasarkan siasatan, pacuan empat roda berkenaan berperanan sebagai tonto yang mengiringi lori berkenaan ke lokasi dituju mereka di Lahad Datu, dipercayai bagi mengedarkan barangan seludup berkenaan untuk pasaran tempatan serta daerah berhampiran.

“Kejayaan ini adalah rampasan terbesar membabitkan rokok seludup oleh IPD Kunak sepanjang tahun ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata, barang rampasan akan dirujuk kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk taksiran cukai.

“Ketiga-tiga suspek direman tujuh hari mulai semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(c) Akta Kastam 1967,” katanya sambil menambah pihaknya akan terus meningkatkan usaha bagi mengekang aktiviti penyeludupan di daerah ini. – BH Online

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan