Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Polis Johor Tumpas Sindiket Judi Bola Sepak, Nilai Pertaruhan RM1.05 Juta

judilagiiii

JOHOR BAHARU: Polis Johor menumpaskan sindiket perjudian perlawanan bola sepak Piala Dunia 2014 dengan nilai pertaruhan RM1.05 juta.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata Op Soga yang dilancarkan pada 13 Jun lepas membuat 105 serbuan dan memeriksa 311 individu.

Hasil pemeriksaan itu, 31 individu ditahan berusia dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun kerana disyaki terlibat sebagai ejen ataupun bookie kepada sindiket pertaruhan.

“Hampir 90 peratus serbuan dilakukan di tempat awam seperti restoran dan kawasan terbuka yang lain sekitar Wilayah Iskandar Malaysia,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini Jumaat.

Turut dirampas dalam operasi itu wang tunai RM61,215 dan 5,650 dolar Singapura, sembilan komputer tablet, 30 telefon bimbit, tujuh modem wifi dan sejumlah rekod pertaruhan perlawanan bola sepak Piala Dunia 2014.

Mohd Mokhtar berkata kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Pertaruhan 1953 (Akta 495) yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi RM200,000 jika didapati bersalah.

Sementara itu, polis Johor juga menumpaskan sindiket pecah rumah yang berlaku di Jalan Waspada, Johor Baharu, pada 12 Jun lepas selepas menahan dua lelaki berusia 21 dan 35 tahun pada hari yang sama di Jalan Skudai dan mendapati kedua-duanya mempunyai rekod jenayah dan dadah.

Turut dirampas sebilah kapak, empat batang besi kuku kambing, sebilah pisau, dua pemutar skru, dan satu pemotong dawai yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah serta sebuah kereta Mitsubishi Grandis yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Kedua-dua suspek itu, yang juga warga tempatan, ditahan reman sehingga 23 Jun ini.

Mohd Mokhtar berkata dengan penahanan dua suspek berkenaan, pihaknya turut berjaya menyelesaikan lima kes pecah rumah di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baharu Selatan.

Komen


Berita Berkaitan