Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

POLIS DIARAH SIASAT DALANG BORANG BERI KAD PENGENALAN KEPADA PTI: AZIS

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman (tengah) bersama Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Mustafar Ali pada sidang media selepas Ops Mega yang dijalankan di dua lokasi sekitar Kota Kinabalu Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman telah mengarahkan siasatan ke atas dakwaan mengaitkan beliau dalam pengedaran borang kepada pendatang tanpa izin (PTI) bagi mengisi maklumat untuk diberikan kad pengenalan.

Ahli Parlimen Sepanggar itu menegaskan, perkara itu yang tular di media sosial baru-baru ini telah menjejaskan nama dan reputasi beliau sebagai menteri serta wakil rakyat di kawasan itu.

“Saya telah mengarahkan pihak polis menyiasat perkara ini dan kalau kita dapat dalangnya, kita akan tangkap mereka yang telah menggunakan nama saya selaku Timbalan Menteri Dalam Negeri kononnya telah `merestui’ borang bagi mengambil data PTI untuk diberikan kewarganegaraan.

“Saya tahu ini merupakan satu usaha untuk mencemarkan nama baik Parti Warisan Sabah (Warisan) yang memerintah Sabah kerana kita tahu pembangkang sering menyerang kita,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman (dua dari kanan) menyoal siasat PTI yang ditahan dalam Ops Mega yang dijalankan di dua lokasi sekitar Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Terdahulu beliau dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali menyertai Op Mega 3.0 oleh Jabatan Imigresen bagi membanteras pendatang tanpa izin (PTI) di Tanjung Aru dan Sepanggar.

Dalam operasi selama empat jam itu yang bermula pukul 12 tengah malam, seramai 640 warga asing diperiksa manakala 59 orang telah ditangkap kerana kesalahan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Dalam perkembangan berkaitan, Azis berkata, kementeriannya telah meminta kerajaan Persekutuan untuk menambah peruntukan bagi memperkasakan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dalam bajet akan datang.

Beliau menjelaskan, bajet untuk memperkasa Esscom perlu ditambah kerana Sabah merupakan negeri yang terdedah dengan ancaman lanunan dan kemasukan pendatang tanpa izin (PTI).

“Saya berharap kerajaan dalam bajet akan datang, peruntukan untuk Esscom akan dtambah, kita tidak boleh bertolak ansur dalam soal keselamatan negeri ini sebab bila berlaku ancaman lanun kita perlu sentiasa bersiap sedia,” katanya. – SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan