Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Polis buru suspek berbahaya, cubaan membunuh anggotanya

RAMPASAN…Mohd Farhan (kedua kanan) bersama pegawai PDRM IPD Ranau menunjukkan barang yang dirampas daripada suspek.

 

RANAU: Polis di sini sedang memburu dua suspek lelaki yang dianggap berbahaya selepas kedua-dua lelaki bersama dua yang lain terlibat dalam percubaan membunuh seorang anggota polis, menyebabkan tembakan dilepaskan dan kejar-mengejar kereta di pekan Ranau baru-baru ini.

Kedua-dua suspek, yang dikenali sebagai Mohamad Arbani Bin Mohamad Sewan, 24, seorang lelaki tempatan dan warga Filipina yang dikenali sebagai Leo, 30 tahun melarikan diri dari kenderaan mereka selepas dikejar kereta polis sini pada 6 Oktober.

Ketua Polis Ranau, DSP Mohd Farhan Lee Abdullah pada sidang akhbar di sini kelmarin berkata, kejadian itu berlaku ketika sebuah unit menjejaki suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian pecah rumah di Taman Saujana Ranau sehari sebelumnya.

“Keesokan harinya selepas pecah rumah, kira-kira 10.30 pagi, dua peronda polis berjaya menjejaki empat suspek yang sedang memandu kenderaan Proton Waja. Anggota kami berada di belakang kenderaan suspek sehingga ia dihentikan di sebuah stesen minyak.

“Di sana, anggota polis keluar dari kenderaan dan cuba mendekati kereta suspek. Bagaimanapun, kereta itu tiba-tiba bergerak dan cuba merempuh salah seorang anggota kami tetapi gagal. Anggota kami melepaskan dua tembakan ke tayar kenderaan.

“Suspek melarikan diri dengan dua tayar pancit dan unit kami mengkejar dari belakang. Ketika tiba di persimpangan Kg Muhibbah, kereta suspek terbabas dan tiga suspek berjaya melarikan diri,” katanya.

Farhan berkata, salah seorang suspek, lelaki tempatan berusia 32 tahun yang juga abang Mohamad Arbani, yang terakhir melarikan diri dari kenderaan yang ditembak berjaya ditahan oleh polis.

Susulan itu, beliau berkata, polis juga berjaya menangkap seorang lagi suspek, lelaki tempatan berusia 20 tahun, ketika dia cuba melarikan diri dari Ranau di Stesen Bas Ranau-Keningau kira-kira pukul 11.30 pagi pada 7 Oktober.

Antara barang yang ditemui pada suspek semasa penangkapan itu termasuk pisau lipat berukuran 6 inci dan kedua-dua suspek yang ditangkap didapati positif syabu.

Penangkapan kedua-dua suspek turut membawa kepada penemuan semua barangan yang dicuri dari kes pecah rumah di Taman Saujana, yang berjumlah kira-kira RM3,550, serta beberapa senjata termasuk katana, parang, kapak, bar besi dan lain-lain. .

Salah satu barangan yang dicuri, Samsung Galaxy Tab telah dijual kepada pelayan wanita berusia 32 tahun, yang juga ditangkap pada hari itu kerana memiliki barangan curi dan kini ditahan reman untuk siasatan lanjut

Farhan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana percubaan membunuh dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana Pecah Rumah dan Curi.

Farhan menggesa kedua-dua suspek yang masih lolos untuk menyerah diri di mana-mana balai polis berdekatan, dan meminta kerjasama orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat tentang suspek yang sedang diburu supaya menghubungi ASP Nurul Hafidz di 0128657598 atau Inspektor Hafiza di 0145220506. -OLEH ADUKA JASNIN SUMAN/NewSabahTimes

DITEMUI…Farhan (kiri) menunjukkan kenderaan yang digunakan empat suspek ketika dikejar polis.

 

MOHD ARBANI…salah seorang suspek yang lolos kini diburu polis.

Komen


Berita Berkaitan