Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Polis buru bekas penasihat kewangan bank

Chandra ketika di sidang media mengenai kes pecah amanah wang pelaburan amanah saham. - Stenley Dominic / Sayangsabah
Chandra ketika di sidang media mengenai kes pecah amanah wang pelaburan amanah saham. – Stenley Dominic / Sayangsabah

KOTA KINABALU – Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Komersil sedang mencari seorang bekas Penasihat Kewangan Peribadi sebuah bank untuk membantu siasatan berhubung kes pecah amanah wang pelaburan saham yang membabitkan nilai kerugian hampir RM1 juta.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner M Chandra berkata, suspek lelaki itu dikehendaki selepas 14 laporan polis dibuat terhadapnya di antara tempoh 13 Mei hingga 21 Julai lepas oleh sembilan orang mangsa dan pihak bank terbabit.

“Suspek dikenali sebagai Raphael Fred berumur 43 tahun, diminta tampil ke Ibupejabat Polis Daerah atau balai polis berhampiran untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut beliau, kes pecah amanah itu terbongkar apabila sembilan orang mangsa terbabit mahu memeriksa hasil pelaburan mereka, namun dimaklumkan oleh pihak bank bahawa rekod pelaburan mereka tidak wujud.

“Mangsa mendakwa telah membayar sejumlah wang kepada suspek dan diberikan resit bukti pembayaran pelaburan skim amanah saham yang ditawarkan oleh bank tersebut,” katanya sambil menambah kesemua mangsa kemudian dinasihatkan oleh pihak bank agar membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati suspek telah menghilangkan diri sejak akhir Mei tahun ini dan usaha untuk mengesan lelaki yang dipercayai masih berada di negeri ini sedang giat dijalankan oleh pihak polis.

“Pemeriksaan polis juga mendapati lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” tambah beliau.

Difahamkan, kesemua mangsa berumur di antara 23 hingga 61 tahun yang mengalami kerugian RM727,489 itu merupakan pelanggan tetap kepada suspek yang bertugas sebagai Penasihat Kewangan Peribadi di bank berkenaan.

Sehubungan itu, orang ramai yang mengetahui lokasi suspek berada diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Nur Dalila Hamzah di talian 013-6171758 atau hadir di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

– Oleh Nuzir Andi Samsiar / Sayangsabah

Komen


Berita Berkaitan