Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

12,152

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Polis berkas dua suspek curi motosikal

11:59am 11/01/2017 Pak Roshan 1286 views Jenayah,Mutakhir

DIRAMPAS … Farhan (kanan) menunjukkan motosikal jenis Yamaha RXZ yang dicuri.

RANAU: Tindakan pantas pihak polis berhasil apabila berjaya mengesan dan menangkap dua lelaki yang disyaki pencuri dan penagih dadah beberapa jam selepas keduanya melakukan jenayah dekat sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau kelmarin berkata tangkapan dan rampasan dibuat oleh Team Task Force dan Unit MPV BPJKK, IPD Ranau pada antara jam 4.30 pagi dan 6.00 pagi Isnin.

“Terdahulu, kita menerima laporan bahawa sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ milik seorang penduduk kampung telah dicuri pada kira-kira jam 2.30 pagi di Kampung Naradu Kundasang.

“Berpandukan laporan, Team Task Force dan Unit MPV IPD Ranau membuat rondaan serta semakkan CCTV di Stesen Minyak Petronas Kampung Kilimu dan mendapati motosikal terbabit ada singgah di stesen itu.

“Rakaman CCTV turut menunjukkan dua suspek terlibat, di mana salah seorang daripadanya kemudian memandu sebuah lori beredar dari stesen itu manakala seorang lagi menunggang motosikal terbabit. Mereka menghala kearah jalan Ranau – Telupid,” jelas Farhan.

Menurut beliau, suspek yang memandu lori ditahan di tepi jalan pada kira-kira jam 4.30 pagi, manakala rakannya di tahan di Kampung Nalapak Ranau, pada kira-kira jam 6.00 pagi ketika sedang lena di sebuah gerai menjual sayuran.

“Turut ditemui bersama salah seorang suspek ialah satu paket plastik lutsinar yang disyaki dadah. Siasatan awal menunjukkan suspek mengaku mencuri motosikal terbabit.

“Kedua-dua suspek masing-masing berumur 37 dan 23 tahun, berasal dari Batu 16 Jalan Apas Tawau dan barang rampasan dibawa balik ke IPD Ranau untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu,dalam sidang media yang sama Farhan menjelaskan statistik indeks pelbagai jenayah daerah Ranau pada tahun 2015 meningkat kepada 35 peratus berbanding tahun 2014.

“Walaupun berlaku peningkatan kes jenayah indeks tahun 2015 berbanding tahun 2014, tetapi pada masa yang sama Polis Diraja Malaysia(PDRM) daerah Ranau berjaya menyelesaikan sehingga 195 peratus kes tahun lalu.

“Manakala untuk kesalahan trafik di daerah ini sepanjang tahun 2015 juga meningkat kepada 20 peratus berbanding tahun 2014 dan kes melibatkan kemalangan maut turut meningkat 43 peratus,” jelasnya.

Tambah Farhan,walaupun banyak kes dapat diselesaikan tahun lalu, ini bukanlah satu kebanggaan malah PDRM akan terus bekerja keras ke arah meningkatkan penyelesaian pelbagai kes sekali gus berusaha menurunkan indeks jenayah khusunya di Ranau. – NewSabahTimes

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan