Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

PM Ucap Takziah Kepada Keluarga Allahyarham Nik Aziz

PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadiri satu majlis di sini, malam ini telah menghentikan ucapannya seketika apabila dimaklumkan tentang berita kepulangan ke rahmatullah bekas Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Najib ketika itu sedang berucap pada majlis sambutan ulang tahun Yayasan Pendidikan Cheras, apabila diberitahu oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengenai kepulangan ke rahmatullah Nik Abdul Aziz.

Beliau kemudiannya mengumumkan berita itu kepada hadirin, yang terdiri daripada guru-guru sekolah di sekitar Cheras, yang telah membuatkan kesemua para hadirin terkejut dengan berita sedih itu.

Perdana Menteri kemudian mengajak hadirin untuk menyedekahkan Al-Fatihah untuk Allahyarham, dan mendoakan roh Nik Abdul Aziz ditempatkan bersama-sama golongan solihin, sebelum meneruskan ucapannya.

Najib kemudian dalam akaun Twitternya, turut melahirkan rasa sedih dengan pemergian ke rahmatullah Nik Abdul Aziz.

“Innalillahiwainnailahirojiun. Saya sedih mendengar Tok Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat telah pulang ke rahmatullah. Al-Fatihah,” kata Najib.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam laman twitternya turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dengan catatan “saya dengan penuh rasa dukacita mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Nik Aziz.

“Moga roh beliau ditempatkan bersama-sama hamba2Nya yang soleh,” kata Muhyiddin.

Nik Abdul Aziz, 84, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Pulau Melaka di Kota Baharu, Kelantan pada kira-kira 9.40 malam ini. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan