Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

PM Dr Mahathir mula lawatan kerja ke Jepun

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Tokyo sempena lawatan kerja tiga hari. – Foto BERNAMA

 

TOKYO: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di sini sempena lawatan kerja tiga hari, iaitu kunjungan luar negara pertamanya selepas kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Mei lalu.

Dr Mahathir ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan barisan pegawai Kementerian Luar tiba dengan pesawat khas negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, di sini pada jam 4.55 petang, waktu tempatan.

Ketibaan Perdana Menteri disambut Duta Malaysia Ke Jepun, Datuk Ahmad Izlan Idris; Naib Menteri Luar Jepun, Iwao Horii; Duta Besar Jepun Ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa dan isterinya, Yuko Miyaga; Ketua Protokol, Akira Sugiyama; Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Asia Tenggara dan Asia Barat di Kementerian Luar Jepun, Shigeki Takizaki.

Dr Mahathir tiba di Negara Matahari Terbit untuk menghadiri Persidangan Antarabangsa Masa Depan Asia (Persidangan Nikkei) Ke-24 susulan jemputan Nikkei Incorporated, di mana beliau dijangka menyampaikan ucaptama.

Inti pati program Perdana Menteri Ketujuh itu termasuk menghadiri makan malam bersama rakyat Malaysia di Jepun, siri dialog bersama media Jepun dan wakil yang dilantik, selain kunjungan hormat terhadap rakan sejawatannya, Shinzo Abe.

Dr Mahathir turut dijadual menghadiri dialog bersama beberapa teraju entiti perniagaan Jepun, termasuk Dewan Perdagangan dan Industri Jepun, Organisasi Perdagangan Luar Jepun dan Persatuan Ekonomi Jepun-Malaysia.

Menerusi sesi penerangan bersama media Malaysia semalam, Ahmad Izlan berkata, lawatan kerja Dr Mahathir hingga 12 Jun ini bakal memberi ruang untuk Malaysia mengetengahkan dasar baharu terhadap Jepun dan pelbagai negara di rantau Asia, khususnya membabitkan pelaburan asing dan perdagangan.

Beliau berkata, Perdana Menteri mendapat ‘pentas’ untuk berkongsi aspirasi Malaysia dan masa depannya dengan wakil kerajaan, peneraju perniagaan dan ahli akademik di rantau berkenaan. – BH ONLINE

Komen


Berita Berkaitan