Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pilu Sambut Aidilfitri Jauh Di Perantauan

Pembantu Peribadi kepada Duta Malaysia Kementerian Luar Negeri di Geneva, Azanesa Mohd Abdan, 39, (dua,kanan) bergambar sempena Aidilfitri bersama perwakilan Malaysia berlatar belakangkan keindahan Tasik Geneva Switzerland. - Foto BERNAMA
Pembantu Peribadi kepada Duta Malaysia Kementerian Luar Negeri di Geneva, Azanesa Mohd Abdan, 39, (dua,kanan) bergambar sempena Aidilfitri bersama perwakilan Malaysia berlatar belakangkan keindahan Tasik Geneva Switzerland. – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR – Bagi umat Islam di Malaysia, kedatangan Aidilfitri disambut gembira bersama keluarga namun kepada mereka yang jauh di perantauan, rindu terhadap keluarga di tanah air sukar dibendung.

Azanesa Mohd Abdan, 39, berasal dari Kuala Lumpur, berkata kepiluan amat dirasainya kerana buat julung kali beliau beraya di Geneva, Switzerland, jauh daripada keluarga tercinta.

Azanesa yang berkhidmat dengan Kementerian Luar sebagai pembantu peribadi kepada duta Malaysia di Geneva, menyambut 1 Syawal bersama suami dan dua orang anak secara sederhana.

“Ini kali pertama Sha tidak beraya dengan keluarga, sayu dan sedih kerana tak dapat peluk mak bapak serta keluarga di pagi raya.

“Selain menikmati juadah raya yang dimasak sendiri, kami sekeluarga akan beraya di rumah rakan-rakan perwakilan yang lain,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp.

Bagi Nurmelfa Rozaimah Rosalan, 39, yang menetap di Chelmsford, United Kingdom, walaupun sedih tidak pulang beraya, beliau tetap bersemangat memasak juadah raya demi anak-anaknya dan mengingatkan mereka akan kemeriahan Aidilfitri.

“Bagi memeriahkan suasana raya di sini, saya akan memasak juadah raya terutamanya rendang kegemaran anak-anak saya. Kami sambut secara sederhana bersama keluarga mertua yang datang dari Itali,” katanya.

Anak jati Johor itu berkata anak-anaknya lebih suka suasana raya di Malaysia kerana lebih meriah merayakannya bersama datuk, nenek serta sanak-saudara di Yong Peng.

“Aidilfitri membuatkan saya lebih rindu kepada keluarga di Malaysia tetapi terpaksa tabahkan hati kerana tidak mahu tunjuk kesedihan di hadapan anak-anak,” katanya.

Suri rumah sepenuh masa ini sudah 14 tahun bermastautin di United Kingdom setelah mendirikan rumahtangga dengan suaminya, Stefano Annarumma, 37, yang merupakan seorang chef, dan mereka dikurniakan tiga cahaya mata.

Norzie Abdul Ghapor, 39, yang menetap di Schwenningen, Jerman, pula berkata ini kali kedua beliau tidak dapat pulang beraya.

Beliau yang menetap di negara berkenaan sejak tiga tahun lalu setelah mendirikan rumahtangga dengan seorang jurutera, Tobias Baumann, 45, dan mempunyai dua orang puteri, tidak dapat menahan kesedihan di hari raya lebih-lebih lagi setelah pemergian bapanya dua bulan yang lalu.

“Sambil buat kuih raya, airmata menitis bila mendengar lagu raya dari stesen radio tempatan (Malaysia) dan teringat emak di kampung,” katanya.

Norzie berkata beliau kerap menghubungi ibunya melalui Skype bagi mengubat rindu dan bertanya khabar berita.

“Agak sunyi raya di sini kerana tiada orang Melayu, hanya terdapat komuniti Islam warga Turki.

“Tradisi di hari raya, anak-anak saya akan memakai baju kurung baharu dan bermain bunga api selain menikmati juadah raya bersama keluarga, mertua dan rakan senegara yang menziarah dari Perancis,” katanya. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan