Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pihak berkuasa berwaspada serangan balas Abu Sayyaf

EssCom

JOHOR BAHRU – Pihak berkuasa diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi kemungkinan serangan balas oleh kumpulan Abu Sayyaf susulan pembunuhan seorang pemimpin mereka di perairan Semporna, Sabah pada 8 Disember lepas, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau tidak menolak berkemungkinan kumpulan militan itu akan melancarkan serangan balas terhadap pihak berkuasa negara demi untuk membalas dendam.

“Sebagai contoh pada tahun lepas, ada ura-ura mengatakan kononnya mereka ingin melancarkan serangan untuk melepaskan ketua-ketua yang telah ditangkap berikutan insiden pencerobohan Lahad Datu namun ia tidak berlaku kerana kawalan keselamatan telah ditingkatkan.

 “Justeru, dalam hal ini, kita (pihak berkuasa) akan berjaga-jaga mengenai tindak balas mereka,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan sumbangan kebajikan kepada Persatuan Kebajikan Kuan Yin di sini, hari ini, ketika ditanya mengenai perkembangan kes penculikan itu termasuk kemungkinan serangan balas oleh kumpulan Abu Sayyaf.

Pada 9 Dis lepas, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun mengesahkan anggota penguatkuasa Malaysia berjaya menyekat kes penculikan di perairan Semporna dan tiga daripada tujuh penculik dari selatan Filipina ditembak mati, termasuk seorang pemimpin kumpulan militan itu.

Dalam kejadian itu, seorang daripada dua juragan yang menjadi mangsa culik berjaya diselamatkan manakala usaha mengesan dan menyelamat seorang lagi mangsa culik yang hilang bersama dua lagi suspek sedang giat dijalankan. Dua lagi penculik berjaya diberkas.

Dalam pada itu, Nur Jazlan berkata pada masa ini pihak berkuasa Malaysia bersama-sama Indonesia dan Filipina sedang menunggu masa untuk melakukan tindakan efektif bagi membendung kegiatan jenayah kumpulan berkenaan di perairan ketiga-tiga negara berjiran itu.

“Saya minta penduduk tidak bersuhabat (dengan kumpulan itu),” katanya.

Ketika ditanya mengenai siasatan polis terhadap kira-kira 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang disyaki menerima dana meragukan daripada individu dan organisasi luar negara, Nur Jazlan berkata siasatan itu tidak mengganggu operasi pertubuhan terbabit.

“Mereka bebas melakukan aktiviti dan kita juga tidak pernah membekukan akaun mereka. Jadi, isu (siasatan) tidak sepatutnya diperbesar-besarkan oleh NGO yang disiasat.

“Kalau mereka tidak salah, mengapa perlu takut melainkan NGO ini sememangnya mempunyai unsur yang meragukan, sebab itu mereka risau,” katanya. – Bernama

Komen


Berita Berkaitan