Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,664

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

PIBG perlu aktif dalam aktiviti sekolah

9:34pm 29/02/2016 Elezebeth Esther Onjining 39 views Tempatan
Samsudin (kedua dari kanan) menyampaikan bantuan khas awal persekolahan kepada para pelajar.

Samsudin (kedua dari kanan) menyampaikan bantuan khas awal persekolahan kepada para pelajar.

SANDAKAN- Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) diminta tidak hanya mengehadkan penglibatan mereka kepada aktiviti pembangunan akademik semata-mata dalam usaha membantu pihak sekolah.

Adun Sekong, Datuk Samsudin Yajya berkata sebaliknya persatuan itu juga harus memainkan peranan menyeluruh dengan turut sama membantu mengatasi masalah sosial di kalangan pelajar.

Katanya, ramai remaja yang terjebak dengan gejala sosial yang antara lain disebabkan kegagalan kita mendidik dan memantau aktiviti harian mereka.

“Jadi saya berharap pihak PIBG akan memperkukuhkan lagi kerjasama dengan pihak pengurusan sekolah demi memastikan pembangunan akademik dan sahsiah diri pelajar dapat dibentuk sebaik mungkin sekaligus menyumbang kepada prestasi cemerlang sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Mesyuarat Agung PIBG SMK Elopura II 2016 di sini.

Menurut Samsudin, cabaran mendidik anak dalam era globalisasi pada hari ini begitu mencabar dan memerlukan penglibatan semua pihak.

Justeru katanya, ibu bapa tidak harus meletakkan tanggungjawab mendidik anak-anak mereka hanya kepada guru semata-mata.

“Jadi marilah kita sama-sama membantu pihak sekolah baik bantuan dalam bentuk kewangan, material, perkhidmatan dan sebagainya untuk merealisasikan hasrat menjadikan sesebuah sekolah yang terbaik,” katanya.

Beliau turut merakamkan setinggi penghargaan dan tahniah kepada pihak PIBG dan Sekolah, atas usaha berterusan membantu kemajuan pembelajaran para pelajar Sekolah ini.

Jelasnya, kerjasama PIBG dan pihak sekolah amat penting, untuk melahirkan generasi muda yang berjaya dalam pendidikan, ianya memerlukan komitmen dan kerjasama daripada ibu bapa sendiri.

Jelas Samsudin kerajaan sentiasa melakukan transformasi dalam pendidikan sejak mencapai kemerdekaan demi masa depan negara.

Menurutnya, salah satu usaha dilakukan ialah memperkenalkan bantuan awal persekolahan bagi mengurangkan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak mereka.

“Jangan disalahgunakan duit tersebut untuk tujuan lain sebaliknya belilah kelengkapan persekolahan anak-anak bagi memastikan mereka dapat mengikuti pembelajaran dengan selesa,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menyampaikan sumbangan bantuan khas awal persekolahan daripada 750 orang pelajar yang menerima bantuan kerajaan setiap tahun sekolah ini.

Sementara itu, Samsudin turut mengumumkan bantuan kewangan sebanyak RM1,000 kepada pihak PIBG bagi keperluan Persatuan PIBG Sekolah Elopura II ini.

Hadir sama Zantapha Zainal Abidin, PPM Sekong, Jafaar Jakaria, Ahli Majlis MPS, Staff UPPM Sekong.-SayangSabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan