Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

PIBG diminta bantu tingkat akademik pelajar

syed abbas

TAWAU: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berperanan dalam memastikan anak-anak mereka mampu meraih peningkatan pencapaian akademik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Syed Abas Syed Ali berkata, institusi kekeluargaan menjadi organisasi pertama dalam menentukan pencapaian akademik pelajar diikuti golongan pendidik dan seterusnya pihak-pihak lain seperti PIBG.

“Sesungguhnya keprihatinan kerajaan negeri telah menuntut semua pihak termasuk warga pendidik, ibu bapa, pemimpin serta anggota masyarakat berganding bahu meningkatkan pencapaian akademik dan pendidikan moral pelajar,” katanya ketika berucap dalam majlis Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balung Ke-12 dan Majlis Jamuan Silaturrahim Syawal di Dewan SMK Balung, Tawau, di sini semalam.

Syed Abas yang juga Timbalan Ketua UMNO bahagian Tawau berkata, kerajaan Barisan Nasional sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik dalam bidang pendidikan sama ada dari segi bantuan kewangan dan tuisyen percuma kepada pelajar agar tiada halangan kepada pelajar daripada mendapat pendidikan.

Beliau turut menyarankan guru berupaya menjadi pencetus semangat baharu dalam usaha menyedarkan masyarakat untuk bersatu.

“Selain itu, warga pendidik juga boleh terlibat secara aktif dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha merapatkan hubungan antara kaum melalui aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan di komuniti mereka,” ujarnya.

Tegas beliau, ibu bapa juga berperanan penting dalam membantu pihak sekolah dalam mendidik anak-anak mereka bagi mencapai objektif Rancangan Pembangunan Pendidikan yang akan bermula tahun hadapan.

Katanya, rancangan tersebut bukan sekadar mahu melahirkan pelajar yang mahir dan berpengetahuan luas malah mempunyai daya kepimpinan yang lebih tinggi untuk menerajui pembangunan negara pada masa depan.

Komen


Berita Berkaitan