Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Piala Dunia: Tekaan Najib Jerman bakal juara tepat

ramalamnajitepat

KUALA LUMPUR: Ramalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa juara tiga kali Piala Dunia iaitu Jerman mampu menjuarai piala itu buat kali keempat tepat apabila berjaya mengalahkan Argentina dengan jaringan 1-0 awal pagi ini.

Najib membuat ramalan itu menerusi laman Twitternya pada Khamis lepas dengan menyatakan, “Inilah masanya meraikan Jerman dan kami mengucapkan selamat maju jaya dalam pelawanan final,”.

Khamis lepas, Jerman membelasah tuan rumah Piala Dunia 2014, Brazil dengan jaringan gol 7-1 pada perlawan separuh akhir piala itu.

Malah, awal pagi ini, Najib tidak ketinggalan menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia itu bersama-sama 25,000 peminat bola sepak di Dataran Merdeka di sini.

Beliau yang berkemeja lengan pendek ungu muda dan berseluar hitam, tiba di Dataran Merdeka pada jam 2.40 pagi dengan disambut Menteri Belia dan Sukan (KBS) Khairy Jamaluddin serta Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Senator Datuk Dr Loga Bala Mohan Jaganathan untuk bersama-sama orang ramai memeriahkan program Fiesta Samba Brazil anjuran KBS.

Najib yang menyokong pasukan Jerman kelihatan ceria dengan bertepuk tangan sebaik pemain negara itu Mario Goetze menjaringkan gol tunggal pada minit ke-113.

Beliau turut kelihatan mententeramkan Khairy, yang merupakan penyokong kuat pasukan Argentina yang terkejut dengan jaringan gol Jerman pada minit-minit akhir perlawanan yang disiarkan secara langsung oleh Astro Arena, menerusi skrin gergasi di Dataran Merdeka.

Najib dilihat menepuk-nepuk bahu Ketua Sayap Pergerakan Pemuda Umno itu yang memakai jersi Argentina, sejurus wisel penamat perlawanan final Piala Dunia ditiup pengadil dari Itali, Nicola Rizzoli.

Ketika sedang rancak menonton perlawanan itu, Najib bersama-sama Khairy turut bersahur dengan memakan secara ala-kadar.

Najib meninggalkan Dataran Merdeka sebaik tamat perlawanan pada 6 pagi tadi sambil melambaikan tangan kepada para hadirin.

Sebelum itu, pada sebelah siang orang ramai mula membanjiri Dataran Merdeka sejak 6 petang berikutan pelbagai acara menarik yang disediakan KBS sempena Ramadan termasuk majlis berbuka puasa, diikuti persembahan Malam Kesenian Islam dengan program tazkirah disampaikan Ustaz Haslin Bahrin.

Suasana di Dataran Merdeka semakin meriah pada lewat malam dengan ramai pengunjung yang tiba memakai jersi pasukan bertanding iaitu Jerman dan Argentina, malah ada yang mewarnakan rambut dan muka mereka mengikut corak bendera kedua-dua negara berkenaan.

Sementara itu, Khairy melahirkan rasa bangganya dengan sambutan hangat puluhan ribu belia terhadap Program Fiesta Samba Brasil 2014, yang disifatkannya bahawa golongan belia sentiasa menyokong program yang dilaksanakan kementerian.

“Yang penting, kita sediakan tempat ini untuk anak-anak muda, walaupun kita boleh sahaja menonton perlawanan ini dekat rumah atau di mana-mana kedai mamak, tapi suasana dengan menonton di sini sangat berlainan dan luar biasa.

“Kita tengok begitu ramai yang pilih untuk datang ke sini, maksudnya program macam ini amat dinanti-nantikan oleh peminat sukan negara,” katanya ketika ditemui pemberita sebelum menyaksikan perlawanan akhir antara Jerman dan Argentina.

Khairy turut menasihatkan golongan belia yang bekerja supaya tidak menjadikan program berkenaan sebagai alasan untuk tidak bekerja pada hari ini.

“Walaupun perlawanan akhir Piala Dunia ini dekat dengan waktu Subuh tetapi saya berharap orang yang hadir di sini tidak mengambil kesempatan untuk menjadikannya sebagai alasan untuk tidak bekerja pada hari ini.

“Acara sebegini bukan alasan untuk tidak datang bekerja, lagi pun bukan Malaysia yang main dalam Piala Dunia, jadi siapa yang datang saya harap sangat selepas habis perlawanan ini boleh bekerja seperti biasa,” katanya.

Komen


Berita Berkaitan