Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,664

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

PI1M Sabah Perlu Dioptimumkan Untuk Perkasa Pengguna

6:15pm 09/07/2016 Pak Roshan 56 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

internet

KOTA KINABALU – Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) perlu dioptimumkan bagi membolehkan masyarakat, khususnya di Sabah, mendapat maklumat berhubung bagaimana untuk memperkasakan diri dan keluarga daripada terdedah kepada kandungan Internet yang tidak diingini.

Pengarah Kanan Sokongan dan Capaian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Eneng Faridah Iskandar berkata langkah itu wajar berikutan aduan tertinggi daripada kalangan pengguna Internet di negeri ini berkaitan bahan kandungan dalam talian seperti maklumat palsu dan kandungan lucah atau tidak senonoh.

“Pihak SKMM telah melatih para pengurus PI1M, termasuk di Sabah, bagaimana melaksanakan program-program sokongan untuk menangani isu-isu yang dihadapi masyarakat.

“Memandangkan kebanyakan PI1M di kawasan luar bandar, kami juga berharap golongan ibu bapa mengambil kesempatan (dengan adanya) pusat-pusat ini untuk memahami dan menyesuaikan diri dengan teknologi digital yang menjadi kegemaran anak-anak sekarang,” katanya kepada Bernama.

Menurut Eneng Faridah, terdapat lebih 80 PI1M di negeri ini yang bukan sahaja membantu masyarakat di negeri ini menggunakan Internet dengan bijak, tetapi juga berperanan sebagai pusat kecemerlangan dan rujukan komuniti setempat.

Katanya, PI1M juga mampu membantu masyarakat dari segi keusahawanan, khususnya di luar bandar.

“Kami juga mengharapkan maklum balas daripada orang ramai mengenai penggunaan Internet atau kemahiran yang mereka rasakan perlu ditawarkan di PI1M.

“Kami mahu mendekatkan diri dengan lebih ramai pengguna Internet dan mengetahui bagaimana untuk membantu mereka menangani isu Internet yang dihadapi mereka,” katanya. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan