Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

12,510

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

PGA Gagalkan Cubaan Seludup Keluar 307 Tong Gas Memasak Ke Nunukan

1:45pm 28/03/2017 Pak Roshan 1021 views Jenayah,Mutakhir

Gambar Hiasan

TAWAU, 28 Mac : Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau menggagalkan satu cubaan menyeludup keluar 307 tong gas memasak dipercayai ke Nunukan, Indonesia pada awal pagi semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau Supt Mustapha Othman berkata pihaknya turut menahan tiga lelaki dipercayai warga Indonesia dalam operasi 2.30 pagi di perairan Sungai Serudung itu.

Sepasukan anggota PGA yang melakukan rondaan di perairan itu terserempak dengan sebuah bot jongkong dalam keadaan mencurigakan yang turut diekori sebuah bot laju.

Pasukan PGA kemudian bertindak menahan kedua-dua bot dan pemeriksaan ke atas bot jongkong menemukan 307 tong gas berisi gas petroleum cecair 14 kilogram berwarna hijau (Petronas) dan kuning (Shell).

“Juragan bot jongkong itu juga gagal menunjukkan dokumen permit membawa tong gas berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata ekoran itu, kesemua tong gas dan kedua-dua bot dengan nilai keseluruhan kira-kira RM150,000 disita dan tiga lelaki berusia antara 24 dan 39 tahun, iaitu dua daripada bot jongkong dan seorang daripada bot laju, kemudian ditahan.

Bagaimanapun kata Mustapha, kes itu belum berakhir apabila pihaknya ditawarkan rasuah RM25,000 oleh seorang remaja lelaki dipercayai warga Indonesia agar membebaskan ketiga-tiga lelaki tersebut.

“Remaja berusia 17 tahun itu datang ke Pos PGA Wallace Bay pada 7.15 pagi dan memperkenalkan diri sebagai anak kepada pemilik jongkong sebelum cuba melakukan rasuah kepada anggota kami.

“Susulan itu dia ditahan kerana cuba memberi sogokan kepada anggota keselamatan,” katanya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan