Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,800

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Pewartaan Pulau Sipadan Tingkatkan Pemuliharaan Hidupan Marin

6:35pm 20/04/2016 Pak Roshan 42 views Mutakhir,Pelancongan

sipadan

SEMPORNA – Usaha memulihara hidupan marin di Pulau Sipadan, yang diisytiharkan antara 10 lokasi selam skuba terkenal di dunia, dipertingkatkan menerusi pewartaan kawasan perairan pulau itu.

Pada November 2009, hanya kawasan tanah Pulau Sipadan seluas 13.5 hektar diwartakan sebagai kawasan perlindungan Taman Negeri di bawah enakmen Taman-Taman 1984.

Pada Julai tahun lepas, kawasan perairan dan terumbu karang di sekeliling Pulau Sipadan seluas 16,846.5 hektar diwartakan sebagai kawasan perlindungan Taman Negeri juga di bawah Taman-Taman 1984.

Ini menjadikan luas keseluruhan Taman Pulau Sipadan berjumlah 16,860 hektar dan dengan pewartaan kawasan perairan sekeliling pulau itu menjadi tangungjawab besar kepada Taman-Taman Sabah (TTS) untuk terus menjaga khazanah alam ini.

DIURUS DENGAN KERJASAMA DAN KOMITMEN

Pengarah TTS Dr Jamili Nais menyifatkan tangunggjawab yang diamanahkan kepada pihak TTS akan diuruskan dengan sebaik-baiknya melalui kerjasama dan komitmen TTS sebagai satu pasukan selaras dengan Pelan Strategik Taman-Taman Sabah 2025.

Kejayaan pada masa hadapan memerlukan komitmen, usahasama dan sokongan padu bukan sahaja dari kalangan barisan pengurusan TTS malahan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat keseluruhannya.

Pewartaan kawasan perairan Pulau Sipadan membolehkan pihaknya meningkatkan langkah penguatkuasaan bagi melindungi hidupan marin dan terumbu karang di kawasan yang menjadi tumpuan selam skuba.

Beliau berkata kualiti terumbu karang sekitar perairan Pulau Sipadan meningkat sejak operasi pusat peranginan di pulau itu ditutup dan struktur bangunan dibuka pada 2004.

“Namun hasil pemerhatian mendapati kerosakan kecil terumbu karang berlaku akibat aktiviti selam skuba di lokasi yang menjadi tumpuan, katanya kepada Bernama.

Beliau ditemui ketika Pelancaran Pewartaan kawasan Perairan Taman Pulau Sipadan yang disempurnakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Ginun Yangus, baru-baru ini.

Menurutnya Jawatankuasa Bersama menetapkan jumlah penyelam 120 orang sehari ke Pulau Sipadan. TTS mula beroperasi di pulau itu pada Januari lepas.

MARSYAL SELAMAN

Seiringan dengan pewartaan kawasan perairan Pulau Sipadan, TTS menubuhkan Marsyal Selaman bagi memantau aktiviti selam skuba dan pergerakan bot di sekitar taman marin itu.

Jamili menyifatkan penubuhan marsyal selaman itu merupakan satu titik permulaan bagi TTS sebagai satu mekanisme pemantauan bukan sahaja di Taman Pulau Sipadan malah akan diperluaskan di taman marin yang lain.

Ia juga penting untuk amalan aktiviti selam skuba yang beretika bagi menangani isu salah laku terhadap ekosistem di taman Pulau Sipadan.

Pada peringkat permulaan, TTS melantik empat Dive Marsyal yang melakukan pemantauan agar semua aktiviti selam skuba di sekitar 12 lokasi selaman di pulau itu dilakukan dengan etika yang betul.

CABARAN MARSYAL SELAMAN

Sementara itu, seorang daripada marsyal selaman itu, Arthur Severinus berkata tugas memantau aktiviti menyelam di sekitar Taman Pulau Sipadan dilakukan bermula pukul 6.00 pagi.

Tugas mereka juga adalah memantau aktiviti penyelaman supaya dilakukan secara beretika iaitu tidak menjejaskan terumbu karang dan hidupan marin.

Beliau berkata sekiranya mereka mengesan salah laku etika ketika menyelam, laporan akan dibuat dan diserahkan kepada Renjer TTS untuk tindakan penguatkuasaan.

Bagi Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah TTS Datuk Seri Tengku Zainal Adlin Tengku Mahamood, pewartaan kawasan perairan Taman Pulau Sipadan adalah satu lagi kejayaan TTS untuk terus menjadi kebanggaan rakyat Sabah.

Perlantikan marsyal selaman juga menjadi satu elemen penting dalam sistem pemantauan agar semua aktiviti selam skuba di sekitar 12 lokasi selaman di taman itu dilakukan dengan etika yang betul.

SEJARAH PULAU SIPADAN

Pulau Sipadan, mendapat perhatian dunia menerusi filem oleh pengembara terkenal Jacques Cousteau bertajuk ‘Ghost of the Sea Turtle’; dan diisytiharkan oleh Kerajaan Britian sebagai tempat Santuari Burung pada 1933.

Ia juga menjadi sebahagian tempat perlindungan telur penyu di Sabah pada 1964 bagi melindungi spesies terancam ini.

Pada 1996, Pulau Sipadan telah dilanda Ribut Greg dan beberapa bahagian terumbu karang telah rosak. Ianya tidak berjaya pulih sepenuhnya akibat daripada pemanasan global dan peningkatan suhu air laut (ditambah dengan kejadian fenomena pelunturan batu karang yang terjadi pada 1998).

Berikutan beberapa ancaman terhadap keindahan semulajadi pulau ini, kerajaan mewartakan Pulau Sipadan sebagai kawasan larangan pada 1997 di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959. Kerajaan Malaysia telah mengumumkan kuota kemasukan pelancong ke pulau ini untuk mengawal kerosakannya namun usaha itu belum dapat dilaksanakan.

Pada 2000, berlaku insiden penculikan oleh kumpulan Abu Sayyap. Seramai 21 pelancong termasuk kakitangan resort diculik dan dibawa ke selatan Filipina serta ditahan selama beberapa bulan sebelum dilepaskan semula.

Pulau ini turut menjadi pertikaian oleh beberapa buah negara. Namun pada 17 Dis, 2002, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah mengisytiharkan Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan sebagai sebahagian daripada hak kedaulatan milik Malaysia.

Susulan daripada kajian yang dijalankan oleh UKM dan beberapa badan bukan kerajaan pada 2004, atas sebab-sebab perlindungan dan pemuliharaan alam semulajadi, Jawatankuasa Bersama telah mengambil keputusan drastik untuk membuka semua kemudahan struktur bangunan (resort) di pulau berkenaan dan dibawa keluar. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan