Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,809

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Petronas Peruntuk RM220 Juta Bagi Program Pembangunan Modal Insan Di Sabah

10:54pm 22/10/2016 Pak Roshan 216 views Mutakhir,Tawau,Tempatan

client_logo_petronas-20130815152146o

KOTA KINABALU : Petroleum Nasional Berhad (Petronas) memperuntukkan kira-kira RM220 juta bagi program pembangunan modal insan dan latihan kemahiran di Sabah bagi tempoh 2014 hingga 2019.

Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan Petronas Datuk Raiha Abd Rahman berkata program berkenaan dilaksanakan menerusi pelbagai program termasuk tajaan pendidikan dan latihan teknikal.

“…sehingga ke hari ini, hampir 5,000 orang pelajar telah menikmati pelbagai manfaat daripada Program-program Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan antaranya penajaan Pendidikan Petronas (PESP), Program Sentuhan Ilmu Petronas (PSIP), Petronas VISTA dan Skim Peningkatan Kebolehpasaran Graduan (GEES).

“Ini bagi memastikan tunas ilmu dapat bercambah dengan baik meliputi pelbagai peringkat pembelajaran,” katanya ketika berucap pada majlis Konvokesyen Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) Ke-18 dan Pusat Latihan Petroleum Kimanis (KTC) Ke-3 di sini hari ini.

Pada majlis yang dirasmikan oleh Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Teo Chee Kang itu, seramai 38 pelajar INSTEP menerima sijil tamat latihan selama setahun dan 28 daripadanya adalah anak negeri Sabah manakala 20 pelajar KTC turut menerima sijil dalam majlis itu.

Mengenai program tajaan pendidikan dan latihan teknikal serta pembinaan modal insan, Raiha berkata setakat ini kira-kira 35,000 orang tanpa mengira asal usul dan latar belakang di seluruh negara sudah mendapat manfaat daripada program berkenaan.

Katanya selaras dengan komitmen syarikat berkenaan untuk memenuhi aspirasi kerajaan dan rakyat dalam pembangunan tenaga mahir dalam sektor minyak dan gas, tumpuan khusus turut diberikan dalam memperkasa pusat-pusat pengajian dan latihan yang diwujudkan Petronas seperti INSTEP, Akademi Laut Malaysia (ALAM), Universiti Teknologi Petronas, Petronas Leadership Centre (PLC) dan KTC di Sabah.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Raiha berkata Petronas akan meneruskan komitmen tingginya melahirkan lebih ramai tenaga cekap dan mahir bagi memastikan sektor petroleum di Malaysia sentiasa mempunyai tenaga kerja yang mencukupi meskipun berhadapan dengan situasi industri minyak dan gas yang begitu mencabar.

“Sabah adalah negeri penting untuk Petronas. Kita mempunyai beberapa infrastruktur kilang dan kemudahan luar pesisir di Sabah. Kita perlukan pekerja yang berasal dari Sabah untuk ceburi bidang minyak dan gas.

“Justeru kita perlu melabur untuk modal insan dalam bentuk pendidikan…kami masih teruskan penajaan pendidikan ke tahap pemberian biasiswa kepada pelajar cemerlang untuk belajar di universiti di dalam dan luar negara,” katanya.

Raiha juga berkata Petronas dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan membina sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Ranau, Sabah, dan projek itu dijangka siap pada tahun 2019.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Teo meminta syarikat yang beroperasi di Sabah agar mencontohi Petronas dalam membantu Sabah merealisasikan pelbagai usaha jangka panjang seperti pendidikan, pembangunan belia dan pemuliharaan alam semulajadi untuk kemakmuran Sabah.

“Salah satu usaha sama yang patut dicontohi ialah kerjasama Petronas dengan Yayasan Sabah untuk melestarikan keseimbangan alam dan biodiversiti di Kanyon Imbak di Ulu Kinabatangan,” katanya.

Katanya usaha kedua-dua pihak berkenaan, selain membangkitkan kesedaran awam mengenai kepentingan hutan berkeluasan 30,000 hektar itu, ia juga untuk menjadikan kawasan berkenaan sebagai pusat pembelajaran dan penyelidikan dalam tempoh jangka panjang.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan