Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Petronas-KTC Adakan Majlis Konvokesyen Sulung

ktc kimanis.

KOTA KINABALU– Pusat Latihan Petroleum Kimanis yang dikendalikan oleh Petronas hari ini mengadakan majlis konvokesyen buat julung kali, melakar detik bersejarah sejak penubuhannya pada 2011.

Majlis konvokesyen itu berlangsung di Menara Petronas di Kota Kinabalu, dan dirasmikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun, yang juga menteri bertanggungjawab bagi hal ehwal pendidikan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Petronas Wilayah Sabah dan Labuan, Masidi memuji usaha Petronas menyokong pendidikan dan pembangunan modal insan di negeri ini.

“Ini satu perkembangan positif. Hakikat bahawa graduan daripada kumpulan pertama semuanya telah mendapat pekerjaan atau ditawarkan kerja menjadi bukti terhadap kualiti pelatih yang dihasilkan KTC.”

Sementara itu, Naib Presiden Kanan, Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan Petronas, Raiha Azni Abdul Rahman berkata: “Petronas komited untuk memastikan remaja di Sabah diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada kepesatan industri minyak dan gas”.

Majlis penyampaian ijazah itu diadakan serentak bagi pelatih pengambilan 2011 dan 2012 yang menamatkan latihan, masing-masing pada 2013 dan 2014.

Kumpulan pertama pengambilan 23 graduan semuanya telah ditawarkan pekerjaan oleh syarikat-syarikat yang menyediakan perkhidmatan bagi industri minyak dan gas. Kumpulan kedua 24 pelatih menamatkan latihan pada Jun tahun ini.

KTC, satu daripada projek Pelaburan Sosial Korporat Petronas di Sabah, menerima pentauliahan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Selain penubuhan KTC, Petronas juga menyumbang dalam pembangunan modal insan di Sabah melalui kerjasama dengan lima institut latihan kemahiran bertujuan melengkapkan remaja dengan kemahiran yang diperlukan industri.

Kelima-lima institusi berkenaan ialah Pusat GiatMARA Kimanis, Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu, Kolej Yayasan Sabah, Institut Latihan Teknikal & Perdagangan Papar dan Institut Kemahiran Mara Kota Kinabalu.

Komen


Berita Berkaitan