Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

PETRONAS DISARAN LAKSANA CRS DI PEDALAMAN SABAH

pic-34
KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Masidi Manjun menyarankan agar Petronas melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam bidang pendidikan menerusi Program Sentuhan Ilmu (PSIP) di kawasan pedalaman Sabah.

Beliau berkata langkah itu berupaya mempertingkat pengetahuan pelajar berkaitan kerjaya dalam sektor minyak dan gas selain dapat mendekatkan diri dengan masyarakat luar bandar.

Masidi berkata demikian pada majlis penutupan Kem Motivasi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) anjuran syarikat minyak negara itu di sini pada Ahad. Turut hadir Pengerusi Petronas Sabah dan Labuan M Firouz Asnan dan Pengurus Besar Petronas Wilayah Sabah dan Labuan Julita Ontol.

Masidi, yang juga Exco Pendidikan negeri, berkata pendedahan secara langsung menerusi pembabitan Petronas penting bagi menarik minat masyarakat luar bandar terhadap bidang sains dan teknologi, terutama berkaitan kejuruteraan.

Dalam perkembangan lain, Masidi yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Karanaan berkata pemberian insentif peralatan ladang kepada ibu bapa murid di kawasannya yang memperoleh 5A dalam UPSR, membuahkan hasil apabila bilangan mereka yang mendapat keputusan cemerlang itu meningkat.

“Alhamdulillah, pendekatan itu sudah menampakkan kejayaan. Selain memastikan lebih ramai murid dari kawasan yang saya wakili berjaya dalam pelajaran, ia secara tidak langsung membantu ibu bapa meningkatkan hasil pertanian,” katanya. Masidi menawarkan insentif itu sejak lima tahun lepas.

Sejumlah 171 murid tahun enam lima sekolah di Sabah, Sarawak dan Labuan menyertai program tiga hari itu, yang bertujuan melengkapkan murid dengan persediaan menjawab soalan UPSR, khususnya bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Sebelum ini, program sama dianjur di Terengganu membabitkan 444 murid dari 18 sekolah dari Kedah, Perak, Terengganu, Pahang, Melaka dan Johor.

Komen


Berita Berkaitan