Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,696

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Petronas Bina Menara Pejabat Baharu Di Sabah

2:32pm 25/02/2016 Pak Roshan 933 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

petronass

KOTA KINABALU : Syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan membina sebuah menara pejabat baharu di Sembulan di sini.

Naib Presiden Kanan Huluan Malaysia Petronas Datuk Mohd Anuar Taib berkata projek bernilai RM136.9 juta itu, yang akan mula dibina bulan depan, merupakan sebahagian perancangan jangka panjang Petronas untuk menampung keperluan operasi dan tenaga manusia pada masa hadapan.

“Seiring dengan kemajuan perniagaan Petronas di negeri Sabah, sudah tentu wujud keperluan untuk menempatkan jumlah kakitangan operasi dan jabatan yang semakin hari semakin bertambah,” katanya pada pelancaran projek pembinaan itu di sini hari ini.

Menurut Mohd Anuar, bangunan 11 tingkat dengan rekaan serba moden itu yang dibangunkan untuk menampung lebih 500 orang petugas, dijangkakan siap pada Ogos 2018.

“Projek ini diharapkan turut membawa impak positif kepada aktiviti ekonomi tempatan, khasnya dalam industri pembinaan tempatan serta industri sokongan yang lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata projek itu bakal menjadi mercu tanda signifikan yang baharu di Kota Kinabalu, sekali gus menggambarkan keyakinan Petronas terhadap potensi masa depan industri minyak dan gas di negeri ini.

“Kedudukan Sabah yang strategik menjadikan negeri ini sebuah lokasi yang ideal untuk memberikan perkhidmatan kepada aktiviti eksplorasi dan pengeluaran di rantau Asia-Pasifik.

“Kerajaan negeri mengiktiraf potensi yang luas yang ditawarkan oleh industri ini yang akan membantu memacu pembangunan sosial dan ekonomi negeri,” katanya.

Teks ucapannya disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Yahya Hussin.

Musa juga berkata keadaan harga pasaran minyak mentah dunia pada ketika ini tidak menjejaskan tumpuan dan komitmen kerajaan negeri untuk terus memperkukuhkan kedudukan Sabah dalam pelbagai sektor industri.

Katanya ini termasuk kerjasama kerajaan negeri dengan pihak industri bagi meningkatkan tahap profesionalisme, membangunkan keupayaan dan menyediakan peluang untuk meningkatkan kemahiran.

Pada majlis itu, syarikat Muhibbah Engineering (M) Bhd dan KK Dinamik Sdn Bhd menandatangani kontrak yang ditawarkan kepada mereka untuk membina dan membangunkan menara pejabat itu.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan