Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Petani ditahan miliki bakakuk, peluru

MOHD Haris (tengah) bersama pegawainya memeriksa tiga laras senjata buatan sendiri jenis bakakuk yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Kibunut, Jumaat lalu. – Foto Mohd Adam Arinin

 

PENAMPANG: Seorang petani ditahan kerana memiliki tiga laras senjata buatan sendiri jenis bakakuk, selain peluru, kelongsong, komponen dan perkakas membuat senjata api susulan serbuan di sebuah rumah di Kampung Kibunut, di sini, Jumaat lalu.

Lelaki tempatan berusia 46 tahun itu ditahan pada jam 1.37 pagi hasil risikan polis berhubung kegiatannya itu.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, berkata hasil soal siasat terhadap suspek mendedahkan senjata api itu dihasilkan olehnya sendiri.

“Difahamkan, suspek membuat bakakuk itu sejak 15 tahun lalu dan dipercayai untuk kegunaan sendiri menjaga kebun dan kemungkinan untuk dijual, tetapi siasatan masih dilakukan untuk mengesahkan maklumat itu.

“Antara barang yang dirampas, tiga laras bakakuk, 184 peluru saiz 5.5 milimeter, satu peluru hidup, enam kelongsong, satu kelopak M16 dan enam kompenan senjata api jenis bakakuk,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, di sini, hari ini.

Bagaimana suspek memiliki peluru itu, Mohd Haris berkata, hasil siasatan suspek pernah melakukan kerja pembersihan dengan kontraktor agensi keselamatan sebelum dipercayai mencuri peluru terbabit.

“Sehubungan itu, siasatan lanjut sedang dilakukan dan suspek direman selama empat hari bermula tarikh tangkapan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 yang membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya. –¬†Oleh Norasikin Daineh/BH Online

Komen


Berita Berkaitan