Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,658

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Pesara Tentera Lakukan Kayuhan Solo Mengelilingi Sabah

4:37pm 19/05/2016 Pak Roshan 626 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan
gambar hiasan

gambar hiasan

KOTA KINABALU : Seorang pesara tentera berasal dari Kelantan, Zulkiflie Ibrahim hari ini memulakan jelajah berbasikal secara solo mengelilingi Sabah selama kira-kira 16 hari.

Kayuhan solo siri kedua Zulkiflie, 46, yang pernah bertugas sebagai anggota tentera di Sabah selama 15 tahun sebelum bersara, merupakan kesinambungan daripada kayuhan siri pertama dari Kampung Semantan, Lundu, Sarawak ke Tanjung Simpang Mengayau, Kudat yang disempurnakannya baru-baru ini.

“Siri kayuhan kedua di Sabah ini membabitkan jarak 1,500km dan saya jangkakan dapat menamatkannya di sini (Kota Kinabalu) pada 3 Jun ini,” katanya kepada pemberita sebelum memulakan kayuhan itu di sini.

Program berkenaan adalah anjuran Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Sabah.

Menurut Zulkiflie, melalui kayuhan solo itu, beliau boleh mempamerkan semangat juang selaku bekas anggota tentera di Sabah yang pernah berjuang untuk negara.

Selain itu katanya, program berkenaan juga boleh mengeratkan hubungan silaturrahim antara masyarakat dan ahli PVATM di seluruh daerah di Sabah, sekali gus dapat mempromosikan industri pelancongan negeri ini.

Sementara itu, Yang Dipertua PVATM Sabah, Zaman Bayang berkata tujuan utama jelajah siri kedua tersebut yang bertemakan ‘selamatkan jalan’ adalah untuk memberikan kesedaran kepada masyarkat tentang cara pengunaan jalan raya yang selamat secara bersama.

“Melalui program seperti ini, kami dapat membuka mata masyarakat bahawa PVATM ini wujud dan berharap agar kita boleh diberi kepercayaan oleh kerajaan negeri untuk menganjur kayuhan berbasikal secara besar-besaran,” katanya.

Zaman berkata menerusi jelajah itu, pihaknya berharap dapat menambah bilangan keahlian PVATM kepada 15,000 orang berbanding 5,000 orang di seluruh Sabah ketika ini.

Upacara pelepasan kayuhan itu disempurnakan Timbalan Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Sabah Chispinus Gordon Yapp @ Raja Godi.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan