Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pesara tentera dapat rumah baharu

Mohd. Noor (kanan sekali) dan Ariffin Mohd. Arif  (dua dari kanan) meneliti PJM salah seorang veteran ATM kurang upaya di majlis itu. - foto Aryan De Vera
Mohd. Noor (kanan sekali) dan Ariffin Mohd. Arif (dua dari kanan) meneliti PJM salah seorang veteran ATM kurang upaya di majlis itu. – foto Aryan De Vera

MEMBAKUT – Seorang pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sulaiman Rasiman, 54, hanya mampu mengucapkan syukur apabila mendapat bantuan rumah baharu di bawah bantuan Strategi Lautan Biru Kebangsaan Ketujuh (NBOS 7).

Beliau yang pernah berjuang mempertahankan negara suatu ketika dahulu, terpilih menerima bantuan berkenaan yang dilihat mampu memberikan keselesaan kepada mereka sekeluarga.

Berasal dari Kampung Baru, Kimanis, Sulaiman, turut menyifatkan bantuan itu sebagai pengiktirafan terhadap pengorbanannya setelah berkhidmat selama 10 tahun di Batalion Ke-5 Rejimen Renjer Diraja Malaysia sejak 1980 sebelum bersara pada 1990.

“Rumah ini telah siap dibina di kampung halaman saya dan bantuan ini sudah tentu cukup bermakna buat saya kerana ia mampu memberi keselesaan kepada kami sekeluarga dalam meneruskan kehidupan seharian.

“Kami juga mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan serta usaha kerajaan sebagai mengiktiraf pengorbanan veteran tentera dalam mempertahankan kedaulatan negara khususnya di zaman pengganas komunis.

“Bukan itu saja, saya juga menghargai pelbagai bantuan yang turut disalurkan kerajaan bagi membela kebajikan golongan veteran ATM ini,” katanya ketika ditemui dalam majlis penyampaian Pingat Jasa Malaysia (PJM) di Dewan Serbaguna Membakut, di sini hari ini.

Penyerahan kunci rumah itu disempurnakan Pembantu Menteri Di Jabatan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Ariffin Mohd Arif.

Pada majlis itu, seramai 20 anggota veteran ATM dari kawasan ini yang pernah berkhidmat semasa era pengganas komunis telah dianugerahkan PJM yang disampaikan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, Mejar Jeneral Datuk Wira Mohd. Noor Daud.

Mohd. Noor berkata, bantuan rumah baharu di bawah Program Baik Pulih Rumah Veteran 1Malaysia (1MVPRP) itu turut melaksanakan projek membaikpulih rumah bagi membela kebajikan pesara ATM.

Katanya, sebanyak RM50,000 diperuntukan kerajaan bagi setiap projek pembinaan rumah baharu manakala RM12,000 untuk setiap kos baik pulih rumah yang dilaksanakan JHEV untuk veteran ATM layak.

“Setakat ini, pihak kami dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan pembinaan sebanyak 26 buah rumah baharu dan 22 projek baikpulih rumah melibatkan seramai 48 penerima sepanjang tahun 2013 hingga 2014. Projek di bawah 1MVPRP ini dibiayai Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan manakala pelaksanaan pembinaan program ini dilakukan Kor Jurutera Di Raja ATM,” ujarnya.

Selain itu katanya, kerajaan melalui JHEV ATM juga menyalurkan lima skim utama bagi membela nasib veteran ATM antaranya Bantuan Sara Hidup, Bantuan Bencana Alam, Bantuan Peralatan Pesakit, Bantuan Persekolahan dan Pendidikan.

Bukan itu saja katanya, JHEV ATM turut menanggung segala kos perubatan yang diperlukan untuk anggota veteran tentera termasuk anak dan isteri atau balu mereka. – oleh Aryan De Vera / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan