Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pesara polis tak kecut dicari anggota pengganas Kiram

Abd Rahim (lima dari kiri) bersama anggota RELA yang bertugas di PKK RELA Tanjung Labian. – Foto Khairull Azry Bidin

 

LAHAD DATU: “Sebagai pesara polis dan kini anggota RELA, saya tidak pernah gentar berhadapan musuh (pengganas Kiram) yang cuba mengganggu keamanan dan kestabilan bumi merdeka ini.

“Lebih-lebih lagi di tanah kelahiran saya di Tanjung Labian,” kata bekas anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 17, Lahad Datu, Koperal Abd Rahim KK Hain. Abd Rahim, 62, antara anggota keselamatan yang terbabit menentang kumpulan pengganas Kiram yang menyelinap masuk ke Tanjung Batu selepas kubu penceroboh di Kampung Tanduo digempur pasukan keselamatan melalui Ops Daulat pada 5 Mac 2013.

Menceritakan peristiwa berkenaan, Abd Rahim berkata, beliau bersama anggota PGA Batalion 17 berkubu di Pos Kawalan Tanjung Labian.

“Selepas Ops Daulat dilancarkan oleh pasukan keselamatan di Kampung Tanduo, kami mengetatkan kawalan keselamatan di Tanjung Labian.

“Pada pagi 6 Mac, kami diarah bersiap sedia kerana sekumpulan pengganas Kiram berada di Kampung Tanjung Batu sebelum kawasan berkenaan digempur pasukan keselamatan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Abd Rahim berkata, kumpulan pengganas pimpinan Agbimuddin Kiram mencarinya ketika berada di Kampung Tanjung Batu kerana mengetahui beliau adalah anggota polis.

“Penduduk kampung yang terselamat di Kampung Tanjung Batu memberitahu saya, mereka (pengganas Kiram) mencari saya, tetapi saya tidak pernah gentar.

“Walaupun sudah bersara pada tahun 2014 lalu, saya tetap meneruskan perjuangan untuk menjaga keselamatan, khususnya di Tanjung Labian,” katanya.

Abd Rahim berkata, selepas bersara dalam polis, pada 2015 hasil perbincangan dengan Ketua Masyarakat Zon Labian, Asafal Alian, Pusat Khidmat Komuniti (PKK) RELA diwujudkan bagi membantu pasukan keselamatan membuat pemantauan.

“Selepas berbincang dengan Asafal, kami sepakat mewujudkan PKK RELA di kawasan laluan masuk ke Simpang Kampung Tanjung Batu. Saya sendiri mengetuai pasukan ini dengan kekuatan anggota seramai lapan orang,” katanya.

Hargai keprihatinan kerajaan

Menyambung cerita, Abd Rahim berkata, selepas lima tahun berlaku pertempuran antara pasukan keselamatan dengan pengganas yang juga pengikut Jamalul Kiram III dari selatan Filipina yang mengaku Sultan Sulu serta mahu menuntut Sabah, keadaan keselamatan di Tanjung Labian dan Kampung Tanjung Batu kini berada pada tahap yang baik.

“Penduduk kembali menjalankan aktiviti harian seperti biasa, malah ada dua pos kawalan pasukan keselamatan di Tanjung Labian dan Kampung Tanjung Batu yang sentiasa menjalankan rondaan dan pemantauan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan kerana sentiasa prihatin tahap keselamatan di Tanjung Labian serta membantu penduduk meneruskan kehidupan selepas banyak harta benda serta rumah mereka musnah diserang pengganas. – BH ONLINE

Komen


Berita Berkaitan