Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pesakit asma disangka perompak

DISALAH SANGKA... Cara berpakaian lelaki (gambar kecil) yang mengidap penyakit asma telah menyebabkannya disalah-sangka sebagai penjenayah oleh peniaga di sebuah premis di Centre Point, semalam.
DISALAH SANGKA… Cara berpakaian lelaki (gambar kecil) yang mengidap penyakit asma telah menyebabkannya disalah-sangka sebagai penjenayah oleh peniaga di sebuah premis di Centre Point, semalam.

KOTA KINABALU – Gara-gara memakai penutup muka dan kepala serta berkaca mata hitam sambil mengambil gambar di sekitar Centre Point dan Warisan Square di sini, seorang lelaki tempatan ditahan oleh polis, semalam.

Seorang peniaga ternampak pergerakan suspek yang berada di luar kedainya di Centre Point dalam keadaan mencurigakan pada kira-kira jam 11.25 pagi semalam.

Pengadu yang mensyaki suspek mempunyai niat jahat, kemudian bertindak membuat laporan di Balai Polis Karamunsing jam 4.25 petang.

“Berdasarkan maklumat, pada jam 10.30 malam hari yang sama, polis berjaya menangkap suspek dan kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut,” kata Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner M.Chandra di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek berumur 28 tahun itu sebenarnya mengidap penyakit asma yang menyebabkan lelaki itu terpaksa memakai penutup muka setelah dinasihati doktor.

“Suspek menghidap penyakit asma sejak tahun 2012 dan doktor telah nasihati agar memakai penutup muka bagi mengelak habuk, cermin mata hitam yang dipakainya pula untuk penglihatan selesa disebabkan cuaca panas,” jelas beliau sambil menambah bahawa baju sejuk dipakai kerana suspek bekerja sebagai pemandu van syarikat yang mengusahakan perniagaan produk makanan sejuk beku.

Dalam kejadian itu, suspek yang memandu van menghantar seorang rakannya membayar bil Maxis di Warisan Square. Oleh kerana tiada tempat letak kenderaan kosong, suspek terpaksa memandu sambil berpusing-pusing di sekitar Centre Point.

“Suspek mengambil gambar menggunakan telefon bimbit hanya suka-suka untuk dimasukkan ke dalam Facebook dan tiada niat jahat lain,” katanya.

Lelaki itu yang dibebaskan selepas pihak polis berpuas hati dengan keterangan diberikan, juga didapati tiada rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing negatif dadah.

Sehubungan itu, polis menasihati orang ramai agar tidak melakukan perbuatan atau berpakaian yang boleh menimbulkan curiga kalangan masyarakat.

“Pihak polis sentiasa memberi keutamaan terhadap maklumat seumpama ini dan akan berusaha mengesan dan menangkap suspek,” tegasnya.
Oleh NUZIR ANDI SAMSIAR / Sayangsabah

Komen


Berita Berkaitan