Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,774

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Perutusan Datuk Seri Musa Aman Ketua Menteri Sabah sempena Tahun Baru Cina

7:43pm 07/02/2016 Ann Vivien 87 views Tempatan,YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman
Datuk Seri Musa Aman

Datuk Seri Musa Aman

BAGI PIHAK ISTERI, Faridah Haji Tussin, keluarga dan Kerajaan Negeri Sabah, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada masyarakat Cina di Sabah dan di Malaysia. Kita seharusnya berbangga kerana telah mencapai pelbagai pembangunan dan kemajuan yang besar sejak merdeka dengan komitmen, kerjasama, sokongan dan dukungan rakyat yang datang dari pelbagai latar belakang. Hakikatnya, kita mempunyai banyak persamaan yang membolehkan kita untuk terus mengukuhkan hubungan dan menegakkan perpaduan dan keharmonian, yang menjadi tonggak kemajuan negara selama ini.

Tahun ini adalah tahun monyet bagi kalendar masyarakat Cina. Sehubungan itu, dalam kita memulakan tahun Monyet, saya menyambut baik dan mengalu-alukan pelaksanaan rumah-rumah terbuka sempena Tahun Baru Cina ini. Ziarah-menziarahi semasa musim perayaan telah menjadi satu budaya bagi kita rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat. Semua kaum adalah bebas untuk mengamalkan adat dan budaya, tradisi serta agama masing-masing di negara yang bertuah ini. Oleh itu, marilah kita suburkan amalan hormat menghormati antara satu sama lain dan mengatasi perbezaan melalui cara yang baik.

Tahun-tahun yang sudah, kita telah melihat usaha-usaha oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk melemahkan perpaduan rakyat Malaysia dengan menggunakan platform media sosial. Sehubungan itu, kita perlu sentiasa berhati-hati dan tidak terpengaruh dengan tindakan yang boleh membawa kepada ketegangan terutamanya apabila isu-isu ini berkaitan dengan kaum dan agama. Suka saya menegaskan bahawa tidak terdapat ruang untuk prejudis perkaumandan perbalahan agama di Sabah, dan saya sentiasa berdoa agar keharmonian di Sabah akan kekal utuh.

Pertumbuhan ekonomi adalah penting untuk prospek pertumbuhan jangka panjang di Sabah. Seperti yang kita maklum, kita mengharungi tahun yang mencabar dengan Ringgit yang semakin lemah berbanding Dolar AS. Masalah yang sama turut melanda beberapa negara lain. Penurunan harga minyak juga telah memberi kesan kepada unjuran pendapatan dan projek-projek tertentu sudah tentu akan terkesan dengan keadaan ini. Saya menyeru kepada rakyat Malaysia di Sabah untuk menyokong apa juga langkah yang kita ambil sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan untuk meminimakan impak daripada keadaan ekonomi yang mencabar pada masa ini.

Walaupun terdapat beberapa rintangan, Sabah kekal komited untuk memastikan pelaksanaan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Agenda Pembangunan Negeri, atau Halatuju, berjalan dengan lancar. Kerajaan Negeri juga menyokong Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang sedang berada pada landasan yang betul dan tepat ketika ini.

Pelancongan masih merupakan penyumbang penting kepada ekonomi tempatan walaupun beberapa cabaran dari segi keselamatan. Kita kini melihat peningkatan pelancong China dan pelancong lain dari kawasan utara Asia melawat ke Sabah. Ini adalah kerana terdapat penerbangan terus ke Kota Kinabalu dari beberapa destinasi di China, Taiwan dan Korea Selatan selain penerbangan sewa khas bagi memenuhi waktu puncak atau ‘Peak Period’ seperti Tahun Baru Cina. Keadaan ini memberikan peluang kepada mereka yang menyambut Tahun Baru Cina untuk untuk melancong ketika musim cuti. Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk terus memastikan produk pelancongan dan standard perkhidmatan memenuhi keperluan pelancong yang memilih untuk melawat negeri ini.

Saya ingin menyatakan kepada para peniaga dan pedagang, bahawa Kerajaan Negeri sedar isu-isu yang dibangkitkan oleh dewan perniagaan dan kumpulan-kumpulan lain dari semasa ke semasa. Kita sedang melakukan yang terbaik untuk memenuhi permintaan dan cadangan dan jika boleh, ia dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha kami untuk mencari penyelesaian yang boleh dilaksanakan dan yang lebih penting, meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri. Saya ingin menegaskan di sini bahawa Kerajaan pada masa ini adalah sebuah kerajaan yang mengambil berat dan prihatin terhadap semua rakyat. Walaupun terdapat pengurangan bajet pada tahun ini, kita akan memastikan bahawa ia adalah keputusan terbaik untuk manfaat semua rakyat. Kerajaan sedar akan peningkatan kos barangan dan perkhidmatan. Oleh itu, Kerajaan sedang melakukan apa yang boleh kita lakukan untuk menangani perkara ini.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk memberi jaminan kepada masyarakat Cina di Sabah bahawa sokongan Kerajaan Negeri akan berterusan khususnya dalam konteks pembangunan dan perkembangan sekolah-sekolah Cina, kuil dan aktiviti kebudayaan. Kita akan terus mengagihkan bantuan kewangan untuk sekolah-sekolah Cina dan kuil-kuil. Ini adalah janji kita kepada masyarakat Cina. Kerajaan Negeri juga menyokong sepenuhnya kepada NGO-NGO Cina yang berusaha ke arah memajukan aktiviti pendidikan dan kebajikan. Ini kerana kita menyedari bahawa pendidikan amat penting kepada masyarakat Cina dan kita akan terus membantu sebanyak mungkin.

Keselamatan adalah salah satu faktor yang amat penting dalam menarik pelabur dan memacu ekonomi, apatah lagi jika ia berkaitan dengan bidang pelancongan. Perintah Keselamatan Timur Sabah (ESSCOM) dan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) kini memasuki tahun ketiga dan selepas ia memperkemas, ESSCOM dan ESSZONE kini lebih kukuh. Saya menyeru kepada orang ramai untuk sentiasa memberi sokongan dengan memaklumkan kepada anggota keselamatan tentang sebarang aktiviti yang mencurigakan.

Sempena musim perayaan ini, janganlah kita lupa kepada mereka yang kurang berkemampuan. Justeru, saya gembira dan memuji penglibatan badan-badan korporat, organisasi serta individu yang sudi berkongsi kegembiraan dengan mereka sempena perayaan ini. Saya berharap agar amalan ini akan diteruskan dan disuburkan lagi pada masa-masa akan datang.

Akhir kata, saya juga berharap agar Tahun Baru akan membawa lebih kemakmuran dan keamanan kepada negara khususnya negeri tercinta ini. Gong Xi Fa Chai.

Terima Kasih.

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan