Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Peruntukan kerajaan Persekutuan diperlukan untuk pembangunan infrastruktur di Sabah

KOTA KINABALU: Pemerkasaan pembolehdaya pembangunan dan pertumbuhan negeri ini terutama daripda aspek infrastruktur yang merangkumi kemudahan utiliti asas, jaringan perhubungan seperti jalan raya dan laluan rel keretapi memerlukan bantuan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan.

Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri, Peter Anthony berkata, ini kerana pembangunan di Sabah perlu dipertingkatkan khususnya bagi kawasan luar bandar agar jurang sosio ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar dapat dikurangkan.

Menurutnya, berdasarkan statistik terkini populasi penduduk di Sabah adalah seramai 3.85 juta orang dan daripada jumlah tersebut sebanyak 40 peratus atau seramai 1.55 juta adalah penduduk luar bandar.

Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Datuk Peter Anthony. Gambar Fail SNT/Datu Ruslan Sulai

“Kita merancang untuk menaik taraf sistem kereta api negeri ini. Sistem keretapi di Sabah masih ketinggalan jika dibandingkan dengan jaringan kereta api di Semenanjung. Oleh itu, kita mahu kerajaan Persekutuan mengutamakan sektor ini untuk diberikan peruntukan.

“Sebagai contoh, bagi laluan yang menghubungkan Beaufort – Tenom, keadaan gerabak kereta api tidak algi menepati ciri-ciri keselamatan asas dan insiden kemalangan pernah berlaku sehingga mengakibatkan kemalangan jiwa,” katanya dalam ucapan pada sesi Taklimat Pembangunan Negeri Sabah di sini hari ini.

Taklimat itu diadakan sempena lawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ke Sabah selama tiga hari bermula hari ini.

Hadir sama pada taklimat itu ialah Setiausaha Kerajan Negeri Sabah, Datuk Hashim Paijan; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Nor Rizan Mohd Thani; Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Sabah, Gwendolen Vu dan Pengarah Seksyen Bajet Pembangunan UPEN, Datuk Adam Sulong.

Peter berkata, kerajaan negeri juga berpendapat bahawa wujud keperluan untuk mengenal pasti langkah-langkah penambahbaikan hubungan kerja antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan.

Beliau menjelaskan, terdapat dua cadangan yang telah diteliti oleh kerajaan negeri dalam perancangan pembangunan tersebut.

“Pertama, untuk memperkukuhkan sesi konsultasi dan koordinasi antara dua pihak sebelum mengenal pasti projek-projek yang akan dibiayai oleh kerajaan Persekutuan. Ia bertujuan memastikan pelaksanaan projek-projek pembiyaan Persekutuan di negeri ini akan dapat dilaksanakan dengan lebih terancang dan efisien.

“Kedua, kerajaan negeri ingin mencadangkan agar sumber kerajaan Persekutuan di peringkat negeri ini dapat direalisasikan dan dioptimumkan untuk menjimatkan kos operasi,” katanya.

Selain itu, Peter menambah, kerajaan negeri juga mencadangkan agar penyelarasan semula beberapa agensi Persekutuan di Sabah yang mempunyai fungsi dan peranan yang lebih kurang sama dengan agensi kerajaan negeri sedia ada.

Katanya, ia melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Pusat dengan JKR negeri, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dengan Jabatan Perikanan Negeri dan Lembaga Getah Malaysia dan Lembaga Industri Getah Sabah.

Dalam pada itu, beliau juga berharap agar sokongan dan kerjasama berterusan daripada kerajaan Persekutuan untuk memajukan lagi sektor pertumbuhan utama di Sabah seperti pelancongan, pertanian dan pembuatan serta pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi. – SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan