Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pertukaran kerusi calon BN di Libaran dipersetujui awal

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman (kiri) bersama Calon P184 Parlimen Libaran Datuk Zakaria Edris (tiga dari kiri) beramah-mesra bersama warga tua selepas menghadiri Program Rakyat Dihatiku Bersama Ketua Menteri di Kampung Nelayan, Batu Putih, di Sandakan, malam tadi. – Foto Edmund Samunting

 

SANDAKAN: Pertukaran kerusi calon Barisan Nasional (BN) membabitkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gum-Gum dan Parlimen Libaran di sini, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sudah dipersetujui awal.

Calon BN bagi DUN Gum-Gum adalah Datuk Juslie Ajirol manakala Parlimen Libaran, Datuk Zakaria Edris. Juslie adalah penyandang kerusi Parlimen Libaran manakala Zakaria DUN Gum-Gum.

Zakaria berkata pertukaran kerusi itu hanya atas faktor beliau dan Juslie sudah berada dalam tempoh lama di kawasan berkenaan.

Katanya, beliau sudah tiga penggal di kerusi DUN Gum-Gum, manakala Juslie selama empat penggal di Parlimen Libaran.

“Kami sudah lama berbincang untuk bertukar kerusi bagi membolehkan lebih banyak pembangunan dibawa ke kawasan ini.

Calon Barisan Nasional bagi kerusi N42 DUN Sungai Sibuga Tan Sri Musa Aman (tengah) bersama Calon N41 Dun Gum-Gum Datuk Juslie Ajirul (kanan) dan Calon P184 Parlimen Libaran Datuk Zakaria Edris (kiri) melambai kearah penyokong mereka selepas penamaan calon Pilihan Raya Umum ke14 di Dewan serbaguna Libaran di Sandakan. – Foto Edmund Samunting

 

“Selaku calon Parlimen Libaran, saya sudah merancang untuk membantu rakyat membawa lebih banyak pembangunan di sini,” katanya pada Program Rakyat Dihatiku Bersama Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman di Kampung Nelayan, Batu Putih di sini, malam tadi.

Pada PRU-14, Parlimen Libaran menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Zakaria; Irwan Shah Mustapa (Parti Warisan Sabah – WARISAN) dan Alfian Mansyur (Parti Harapan Rakyat Sabah – HARAPAN RAKYAT).

Sementara itu, Musa berkata, banyak program pembangunan sudah dibangunkan kerajaan untuk rakyat sekali gus memerlukan kesinambungan agar lebih banyak perancangan dapat dilaksanakan.

Katanya, rakyat khususnya negeri ini memerlukan kerajaan dan pemimpin yang baik hati serta prihatin terhadap keperluan negeri ini yang mempunyai keluasan lebih besar berbanding negeri lain.

Calon Barisan Nasional bagi kerusi N42 DUN Sungai Sibuga Tan Sri Musa Aman (empat dari kiri) bersama Calon N41 Dun Gum-Gum Datuk Juslie Ajirul (lima dari kiri) dan Calon P184 Parlimen Libaran Datuk Zakaria Edris (tiga dari kiri) bersama calon-calon pembangkang selepas penamaan calon Pilihan Raya Umum ke14 di Dewan serbaguna Libaran di Sandakan. – Foto Edmund Samunting

 

“Kita ada rekod, bukanlah terlalu baik, namun kita kerajaan bertanggungjawab dan banyak lagi peruntukan yang kita perlukan untuk membangunkan negeri ini,” katanya.

Musa yang juga calon BN bagi kerusi DUN Sungai Sibuga berkata, banyak masalah penduduk di kampung itu sudah diselesaikan termasuk isu ladang khinzir yang membelenggu penduduk sebelum dipindahkan selepas beliau menjadi wakil rakyat di kawasan itu. – BH ONLINE

 

Komen


Berita Berkaitan