Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pertubuhan Peladang Sabah Sedang Kenal Pasti Jumlah Anggota Kerugian Akibat Banjir

kb

KOTA BELUD, 8 Jan (Bernama) — Pertubuhan Peladang Sabah (PPS) sedang mengenal pasti jumlah anggotanya di seluruh negeri yang terjejas oleh banjir baru-baru ini dan nilai kerugian yang dialami.

Pengarah Lembaga PPS Anita Misuari berkata langkah itu bagi membolehkan bantuan dapat disalurkan dengan segera.

“Laporan jumlah anggota yang terjejas dengan banjir akan dihantar ke Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani agar bayaran ganti rugi dapat dilakukan.

Kerugian yang dimaksudkan dari segi tanaman dan ternakan yang diusahakan oleh anggota PPS,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada anggota PPS kawasan Kota Belud yang terjejas akibat banjir di sini hari ini.

Pada majlis itu, Anita berkata sebanyak 300 kampit beras sumbangan kementerian berkenaan diserahkan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Mohd Salleh Tun Said, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Usukan untuk diagihkan kepada kira-kira 400 anggota PPS kawasan Kota Belud yang terjejas dengan banjir.

Beliau berkata PPS turut menyumbangkan cek bernilai RM20,000 kepada PPS kawasan Kota Belud bagi membantu anggota pertubuhan terbabit.

Menurut Anita, 400 anggota terbabit mengusahakan tanah pertanian seluas 209 hektar.

Beliau berkata, Kota Belud mempunyai 3,800 anggota keseluruhan yang mengusahakan tanah pertanian dengan jumlah keluasan 800 hektar.

Sebanyak 821 mangsa di Kota Belud ditempatkan di tiga pusat pemindahan iaitu Dewan Tun Said, Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa dan Dewan SMK Taun Gusi sejak banjir melanda daerah itu pada 2 Jan lepas.

Bagaimanapun, banjir mula surut keesokan harinya dan semua pusat pemindahan berkenaan tutup pada 4 Jan.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan